Uncategorized
Merdekakan jiwa yang dijajah?

“Apa erti laungan merdeka,andai jiwa hakikatnya masih dijajah?”
M E
R D E
K A
Saban tahun tanggal 31 ogos, kalimah keramat ini bakal bergema menggegarkan bumi tanah air tercinta.Cukup hanya satu baris kata MERDEKA ,sudah mampu membuatkan jutaan rakyat mengalirkan air mata.Merdeka. Satu kata yang menterjemahkan erti kebebasan,kepuasan dan kemenangan .
Jika kita menelusuri sejarah tanah air kita, maka pantas sahaja anak bangsanya penuh gah dan bangga menggenggam tangan melaungkan merdeka. Satu sejarah unggul yang wajib dikenang dan diwarisi dari generasi ke generasi. Perjuangan pejuang tanah air kita perlu terus tersemat dalam dada anak anak watan. Siapa saja yang menyoroti sejarah tanah air kita, pasti bangga dengan kekuatan bangsanya. Namun sedarkah, ramai yang masih berdusta disebalik kata merdeka. Apa erti sebenar merdeka dalam diri kita?
Bagi menterjemah erti sebenar kemerdekaan itu dalam diri kita. Maka perlu diperhatikan,sejauhmana jiwa kita bebas dari dijajah?Lihat disekeliling kita,jutaan anak mudanya berbangga dengan kemerdekaan yang diraih oleh tanah air.
Namun pada batinnya, jiwa dan akhlak mereka masih sedang dijajah oleh pengaruh negatif,hasutan syaitan dan sebagainya . Anasir-anasir ini telah merampas hak jiwa yang merdeka. Hingga akhirnya mereka hanya tunduk dan membiarkan diri mereka terus dijajah dan diserang habis-habisan. Inilah bentuk penjajahan jiwa yang perlu kita memerdekakannya.
Seorang yang jiwanya merdeka itu,perlu teguh jati diri dan keimanannya. Tunduk dan patuh pada agama adalah kemuncak kemerdekaan yang sebenar. Sempurnakan amanah kita sebagai seorang khalifah dengan sehabis baik. Tunaikan segala kewajipan dan tinggalkan segala laranganNya. Dekatkan diri kita dengan Allah. Keimanan yang kuat mampu menjadi benteng pertahanan yang utuh dalam menyelamatkan diri kita daripada terus dijajah oleh hasutan syaitan.
Jiwa
yang bebas dan merdeka itu perlu mengikut bekas acuan Al-Quran dan
Assunnah.Kebebasan,keseronokkan dan hiburan yang melampau adalah bentuk kemerdekaan
yang bathil dan jelas ia mencerminkan jiwa yang sedang diratah oleh cengkaman
jahiliyyah.Hakikat kemerdekaan yang telah disalah ertikan ini hanya merosakkan
dan menghumbankan diri dalam kebinasaan.
Maka kita perlu sedar, kemerdekaan itu bukan hanya pada negara semata mata. Namun kemerdekaan itu juga perlu diperjuangkan dalam diri dan jiwa. Kembalikan hak jiwa yang fitrahnya patuh pada agama. Pertahankan kebebasan diri untuk kembali bernafas dalam roh seorang hamba Allah yang sejati. Kita berkuasa mentadbir diri kita,jangan biarkan sisa jahiliyyah itu terus merampas kekuasaan diri dan jiwa.Ayuh berjuang merdekakan jiwa yang dijajah!
Najwatul Syuhada binti Basri
Pelajar Latihan Industri PACU,
Sarjana Muda Pengajian Alquran dan Assunah,
Universiti Kebangsaan Malaysia.
Pembelajaran sepanjang hayat

Kelajuan Malaysia mencapai negara tua adalah lebih cepat berbanding negara maju. Di mana penuaan warga emas yang berumur 60 keatas telah mengatasi 15% penduduk Malaysia. Lingkungan umur ini banyak berlaku perubahan emosi, fizikal dan mental yang berlaku secara berperingkat.
Pembelajaran sepanjang hayat memberi peluang warga emas untuk mengetahui potensi diri serta melatih kemahiran diri untuk menjadi lebih produktif dalam kalangan keluarga dan masyarakat. Ini selari dengan dasar warga negara tua yang mana ingin meningkatkan kesejahteraan warga serta mengukuhkan hubungan kekeluargaan masyarakat.
Menurut Paul Lengrand, pendidikan perlulah berlaku kepada seseorang individu untuk sepanjang hayatnya. Ia tidak sepatutnya terbatas pada usia kanak-kanak dan remaja sahaja. Contoh pembelajaran sepanjang hayat antaranya ialah e-pendidikan, pembelajaran jarak jauh, penyertaan program atau ceramah dan juga melalui aktiviti membaca. Pembelajaran sepanjang hayat dalam kalangan warga emas dapat membantu meningkatkan fungsi kemahiran hidup selain penambahbaikan sahsiah diri dan juga pengetahuan.
Dasar pembelajaran menggalakkan sumbangan kepada pembangunan negara daripada golongan warga emas supaya berterusan. Sumbangan ini dapat dilakukan melalui perkongsian pengalaman dan kemahiran masing-masing. Menerusi perkongsian ini, secara tidak langsung warga emas dapat menambah baik kemahiran dan pengetahuan yang sedia ada sepanjang perkhidmatan semasa usia muda. Penyelarasan pelan tindakan ini merupakan tanggungjawab Jabatan Kebajikan Masyarakat di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.
Meskipun terdapat pelbagai dasar dan inisiatif yang telah diketengahkan oleh kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan, pelaksananya masih belum diperluas. Hal ini disebabkan sebilangan besar rakyat Malaysia masih tidak terdedah dan cakna akan kepentingan Pembelajaran Sepanjang Hayat dalam kalangan warga emas. Oleh itu, penambahbaikan boleh dilakukan pada masa akan datang bagi meningkatkan kesedaran rakyat Malaysia tentang Pembelajaran Sepanjang Hayat dalam kalangan warga emas.
Ditulis oleh Nabila Nur Ain Binti Mat Nasir yang merupakan Pelajar Latihan Industri Pusat Kecemerlangan Pendidikan Ummah (PACU)
Rujukan
Anon. 2011. Dasar Warga Emas https://www.kpwkm.gov.my/kpwkm/uploads/files/Dokumen/Dasar/Dasar%20Warga%20Emas_2011.pdf
Masfara Wahidah et. al. 2015. Pembelajaran Sepanjang Hayat di kalangan Warga Emas.
Jabatan Kebajikan Masyarakat. 2017. Definisi Warga Emas. http://www.jkm.gov.my/jkm/index.php?r=portal/left&id=VEpUUXV3THFURkZETmxWNjZpQ1BXdz09
Free Market santuni 200 orang penduduk

Bangi, 25 Ogos , Ahad – Pusat Kecemerlangan Ummah (PACU) telah mengadakan program jualan Free Market dan Klinik Al-Fatihah bertempat di Dewan Pangsapuri Seri Cempaka Council Homes Seksyen 16, Bandar Baru Bangi.
Program yang berlangsung seawal jam 8.00 pagi hingga jam 1.30 tengahari ini membuka peluang kepada masyarakat setempat memiliki barangan asasi dan barang keperluan pada harga yang rendah.
Program ini juga turut menyasarkan objektif sebagai medan jalinan hubungan antara penduduk PPRT Seksyen 16 dengan wakil dan PACU.

Kempen Klinik Al-Fatihah yang dimuatkan bersama dalam program ini memberi peluang kepada masyarakat memeriksa bacaan surah Al-Fatihah yang menjadi antara rukun solat.
Sekurang-kurangnya seramai 200 orang penduduk mendapat manfaat daripada program ini. Menarik lagi, apabila pengisian dan aktiviti turut diadakan. Selain klinik Al-fatihah, CEO PACU Ustaz Hanafi Md Muidnudin turut mengambil kesempatan menyampaikan perkongsian berkaitan Erti Kemerdekaan ‘Ini Negara Perjuangan’, pameran I-Backyard Science dan Projek Tuisyen Ummah dan pemeriksaan kesihatan oleh Klinik Az-Zahran,Bangi turut diadakan.
Laporan oleh ;
Najwatul Syuhada binti Basri
Pelajar Latihan Industri PACU,
Sarjana Muda Pengajian Alquran dan Assunah,
Universiti Kebangsaan Malaysia.
Pembukaan cawangan Raudhatul Huffaz di P.Pinang

P. Pinang, 22 Ogos, Khamis – Pusat Kecemerlangan Pendidikan Ummah (PACU) mengadakan sebuah lawatan ke Kolej Islam Teknologi Antarabangsa (KITAB) .
Turut terlibat dalam lawatan ini adalah Pn. Hajjah Asral Widad Binti Ahmad Asnawi, Pengasas dan Pengerusi PACU ; En Muhammad Hanafi Bin Muidnudin, CEO PACU ; Cik Siti Fatimah Hamzah, COO PACU ; En Muhammad Shuib Bin Norudin, Pengurus Perhubungan Awam ; dan Cik Nurhanisah Binti Japril, pelajar latihan industri PACU.

Perjumpaan PACU bersama Dato’ Dr Haji Mustapa Bin Kassim, Rektor KITAB membuka satu ruang kerjasama melalui pembukaan cawangan Raudhatul Huffaz.
Sesi temuduga turut dijalankan oleh PACU kepada para Alumni KITAB sebagai medan penapisan lantikan tenaga pengajar Raudhatul Huffaz.
Laporan oleh;
Nurhanisah Binti Japril
Ijazah Sarjana Muda Komunikasi,
UIA Gombak,
Pelajar Latihan Industri PACU.
Warga Emas hadir Wacana Sinar Melayu Islam

Shah Alam, 20 Ogos – Darul Insyirah turut menghadiri Wacana Sinar Melayu Islam Pasca PRU15 yang dianjurkan Sinar dengan kerjasama Berjasa.
Wacana ini menampilkan panelis Tan Sri Annuar Musa, Setiausaha Agung UMNO; Datuk Badrulhisham Abd Aziz, Presiden Berjasa; Ustaz Idris Ahmad, Naib Presiden PAS; Datuk Dr Rais Hussin Mohamed Ariff, Ketua Dasar dan Strategi Bersatu dan Prof Dr Ridhuan Tee Abdullah, Penganalisis Politik & Ahli Akademik.
Kehadiran ini menjadi laman ilmu kepada warga emas Darul Insyirah di mana ia memberi sedikit sebanyak pendedahan kepada mereka berkaitan realiti isu semasa yang berlaku di Malaysia.
Selain itu, Darul Insyirah mengharapkan pendedahan ini, mampu menjadikan warga emas Darul Insyirah menjadi warga emas yang berinformasi tinggi, sentiasa bangga dan bersemangat tinggi untuk sama-sama memperjuangkan nasib negara, bangsa dan agama.
Koleksi gambar Wacana Sinar Melayu Islam Pasca PRU15 boleh dilihat disini
Norsyahidda Bakry,
Media PACU
Jenis-jenis plastik dan kesannya

Menurut Akta Kualiti Alam Sekeliling (1974), alam sekitar memberi maksud “unsur-unsur fizikal yang berada di sekeliling manusia seperti tanah, air, udara, iklim, tumbuhan, haiwan serta unsur-unsur biologi dan sosial yang saling bergantung antara satu sama lain” (Akta 127-Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, Bahagian 1, Seksyen 1 (Tafsiran). Menurut Serly (2014), plastik pula membawa maksud bahan pengemas atau material polimer yang sifatnya dapat dicetak menjadi apa-apa bentuk yang diinginkan dan boleh juga menjadi keras setelah dipanaskan atau pelarutnya diwapkan. Jika penggunaan plastik ini bertambah tanpa panduan dan kawalan undang-undang yang menyeluruh, tidak mustahil ia akan memberi kesan terhadap alam sekitar kita.
Oleh hal yang demikian, setiap pengguna wajib mengetahui jenis-jenis plastik yang sesuai dipakai sesuai dengan tujuan yang berbeza. Antara- antara jenis plastik yang wujud ialah PET — Polyethylene Terephthalate, HDPE — High-Density Polyethylene, V — Polyvinyl Chloride, LDPE — Low-Density Polyethylene, PP — Polypropylene, PS — Polystyrene dan lain-lain lagi. Berikut contoh jenis-jenis plastik beserta simbolnya;
Menurut beberapa artikel dan perkongsian penulis lain, plastik yang tidak digalakkan untuk digunakan berkali-kali adalah PET dan HDPE. Menurut Karuniastut (n.d), hal ini kerana apabila sering dipakai terutamanya untuk menyimpan air panas, permukaan plastik PET misalnya akan cair dan mengeluarkan zat karsinogenik serta boleh menyebabkan kanser. HDPE pula akan juga mengeluarkan antimoni troksida terus-menerus dan boleh menganggu sistem pernafasan, meningkatkan masalah haid dan keguguran serta memungkinkan permasalahan pertumbuhan perlahan seorang anak sehingga umur 12 bulan.
Selain itu, jenis plastik PVC pula yang terdapat DEHA di dalam kandungannya boleh membawa kepada kebocoran, mewujudkan reaksi antara PVC dengan makanan yang berpotensi memberi bahaya kepada ginjal serta boleh menghasilkan racun apabila dibakar. Maka, plastik ini tidak digalakkan untuk digunakan bagi mengisi makanan. Tambahan lagi, jenis plastik seperti LDPE pula dikatakan kuat, mampu bertahan pada kadar suhu di bawah 600 darjah terhadap sebatian kimia dan sukar bertindak balas secara kimia dengan makanan dan minuman yang tersedia serta daya perlindungan terhadap wap air juga baik. Jadi, plastik ini kebiasaannya boleh digunakan untuk mengisi makanan.
Di samping itu, jenis plastik PP atau Polypropylene pula boleh digunakan untuk mengisi makanan dan minuman bahkan amat sesuai disebabkan kestabilannya dalam berdepan dengan suhu yang tinggi manakala PS atau Polystyrene pula merupakan polimer aromatik yang dapat mengeluarkan bahan styrene ke dalam makanan. Hal ini berbahaya disebabkan ancaman yang berkemungkinan berlaku terhadap kesihatan otak, mengakibatkan pertumbuhan dan kesan buruk kepada sistem saraf.
Sementelahan itu, sebuah jurnal Science Advances tahun 2017 ada mencatatkan jumlah keseluruhan plastik di seluruh dunia telah mencapai 8.3 bilion metrik tan dan 6.3 bilion daripadanya pula telah dibuang sebagai sisa. Penulis juga ada berkongsi tentang keadaan sebuah jalan yang berdekatan dengan kafe makanan laut di Phnom Penh Cambodia serta di kawasan pantai dan jalan di Bandar Sihanoukville, Cambodia yang dipenuhi dengan beg plastik, bekas minuman plastik yang kosong tersadai banyak di tepi jalan dan pantai sehinggakan membentuk gunung-gunung sampah beserta gumpalan plastik (WeForum, 2018). Tidak dapat kita nafikan, plastik adalah sesuatu yang boleh dikatakan berguna buat kita sehinggakan kita umpama hidup di dalam dunia plastik. Namun begitu, kita tidak boleh memandang enteng mudarat-mudarat yang boleh berlaku apabila berterusan menggunakan plastik terutamanya yang berpotensi memberi bahaya kepada penggunanya.
Oleh itu, berikut adalah cadangan tentang cara yang boleh diamalkan untuk menggunakan atau menggantikan terus penggunaan plastik.
- Memakai plastik jenis 1 dan 2 atau PETE dan HDPE pada kadar sekali (1x) sahaja sebaik-baiknya
- Memilih plastik yang mempunyai simbol 4 dan 5 atau LDPE dengan PP untuk tujuan makanan dan minuman
- Belajar membawa beg kain dengan kerap setiap kali ingin membeli barang di pasaraya sehingga jadi suatu tabiat
- Menyimpan makanan dan minuman menggunakan bekas kaca atau keluli.
- Pihak pasaraya mengenakan caj yang lebih tinggi terhadap penggunaan plastik untuk tujuan pembungkusan
- Menggunakan plastik bio-degradable atau bahan dan objek yang boleh diuraikan oleh bakteria atau organisma hidup lain yang kadarnya dalam 3 bulan sahaja berbanding plastik konvensional yang memerlukan 100 tahun untuk terurai.
Jadilah pengguna plastik yang bijak, prihatin dan juga berpada-pada!
Sumber:
- Karuniastuti, N. (2013). Bahaya plastik terhadap kesehatan dan lingkungan. Swara Patra, 3(1). Diambil dari http://ejurnal.ppsdmmigas.esdm.go.id/sp/index.php/swarapatra/article/view/43
- Meerangani, K. A (2018). Kepentingan penjagaan alam sekitar menurut perspektif maqasid syariah. Diambil dari https://www.researchgate.net/publication/323118346_KEPENTINGAN_PENJAGAAN_ALAM_SEKITAR_MENURUT_PERSPEKTIF_MAQASID_SYARIAH
- Our plastic problem is out of control. Here’s how we can fight it. Diambil dari https://www.weforum.org/agenda/2018/06/how-to-fight-our-plastic-problem/
Oleh Nurul Afiqah Abd Kadir,
Sukarelawan PACU,
Bacelor Sains Politik, UIA.
Wacana Cendekiawan ATMA buka mata peserta

Wakil PACU telah menghadiri Siri Wacana Cendekiawan ATMA “Sejarah Institusi Raja-Raja Melayu Di Nusantara: Antara Kuasa Dan Kedaulatan” yang diadakan di UKM pada 22 Julai lalu membawa perbincangan mengenai Institusi Raja-Raja dan Kedaulatan Melayu.
Prof. Emeritus Datuk Dr. Zainal Kling sebagai penyandang Kursi Institusi Raja-Raja Melayu, UiTM membentangkan konsep kedaulatan atau “sovereignty” iaitu suatu “political concept” yang merujuk kepada kuasa teragung dalam sesebuah negara.
Dalam konteks tamadun Melayu, kedaulatan terletak di tangan Raja-Raja Melayu yang menjadi penguasa kepada rakyat. Menurut beliau, bukti terawal kewujudan kedaulatan tamadun Melayu adalah pada zaman kemunculan Sriwijaya. Hal ini adalah berdasarkan kepada penemuan arkeologi dan sumber primer yang kukuh. Kerajaan Sriwijaya merupakan akar kepada kewujudan institusi Raja-Raja dan tamadun Melayu.
Beliau tidak begitu memihak kepada pendapat yang menyatakan bahawa tamadun Melayu telah wujud lebih lama iaitu pada zaman kerajaan Funan atau Angkor atas alasan tiada bukti kukuh yang mengabsahkan kewujudan sebuah tamadun Melayu berbanding kerajaan Sriwijaya.
Sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka sehingga kini, para penjajah Portugis, Belanda dan British tidak pernah berjaya menguasai keseluruhan tanah air dan menjadi penguasa secara mutlak yang menghapuskan peranan Raja-Raja Melayu di setiap negeri.
Oleh itu, adalah tidak wajar menyatakan bahawa negara Malaysia itu terjajah kerana Kedaulatan Raja-Raja Melayu masih lagi termaktub pada zaman British. Tanah Melayu selain Negeri-Negeri Selat tidak dijajah sebaliknya hanya menjadi naungan kepada kerajaan British.
Dato’ Dr. Anwar Omar Din selaku penyandang Profesor Adjung ATMA pula menegaskan bahawa sejarah di tanah air tidak akan kemana-mana sekiranya isu mengenai keabsahan kedaulatan Raja-Raja Melayu masih menjadi topik perbincangan yang tidak selesai.
Bukti-bukti sejarah sudah jelas menunjukkan bahawa Kedaulatan Melayu itu sememangnya wujud dan begitu megah mencakupi pengaruh seantero Nusantara. Antara bukti kemegahannya ialah pembinaan Candi Borobodur yang dibina oleh Dinasti Sailendra yang merupakan sebuah kerajaan Melayu.
Tegasnya, Daulat Melayu tidak sama dengan istilah “Sovereignty” Barat kerana Daulat unsur-unsur magis yang hanya ada pada raja dan kekuasaan dan ia bukanlah terletak kepada nilai kekayaan seseorang yang bukan berdarah raja.
Tandatangan Raja-raja Melayu dalam Malayan Union merupakan sebuah peristiwa bersejarah yang menyatukan negeri-negeri Melayu di mana sebelum ini masing-masing wujud dalam identiti sendiri. Tambahnya lagi, sekiranya tiada Malayan Union maka tiadalah penyatuan negeri-negeri yang mewujudkan Malaysia.
Kapt (B) Abdul Rahmat Omar, Mantan Pegawai Penyiasat TUDM pula berkata kemerdekaan yang dicapai oleh Tanah Melayu adalah hasil daripada kewujudan sistem Raja-Raja Melayu itu sendiri.
Raja merupakan punca kuasa eksekutif. Peranan raja bukanlah terhad sekadar dalam hal adat istiadat Melayu dan orang Islam sahaja malah lebih lagi. Kedaulatan seseorang raja itu juga bukan hanya tertakluk kepada orang Melayu sahaja bahkan juga kepada kaum yang lain. Hal ini menunjukkan bahawa betapa besarnya kedaulatan seseorang raja itu.
Sambungnya lagi, British tidak menghapuskan institusi raja-raja tetapi sebaliknya kehadiran British telah membantu pentadbiran kerajaan Melayu untuk menjadi lebih efisien.
Kedaulatan Raja-raja Melayu masih terpelihara sebagai bukti, Raja-raja Melayu mempunyai kuasa untuk mengampunkan penjenayah dalam negerinya. Malah kuasa raja juga merupakan penentu dalam rundingan kemerdekaan memandangkan rundingan ini seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu adalah antara Raja-Raja Melayu dan wakil British.
Salasilah keturunan raja-raja Melayu pula dibentangkan oleh Hj. Mohd Bokhari Abdullah. Menariknya apabila gambaran jelas berkenaan hubungan rapat antara kerajaan-kerajaan Melayu turut dibentangkan. Ternyata Raja-Raja kerajaan Melayu mempunyai pertalian persaudaraan berdasarkan susur galur keturunannya.
Salasilah awal raja-raja Melayu bermula daripada beberapa kerajaan terawal iaitu Medang Kamulan, Tambralingga, Langkasuka dan Pan-Pan. Sejarah Melayu dan Hikayat lama menceritakan bahawa keturunan Raja-raja Melayu ini dihubungkan melalui perkahwinan yang kemudiannya menghasilkan zuriat-zuriat yang bercambah di serata Nusantara membentuk kerajaan-kerajaan Melayu seperti Funan, Angkor, Sriwijaya, Samudera Pasai, Kelantan, Melaka dan sebagainya.
Pengajaran daripada salasilah ini menunjukkan bahawa orang Melayu tidak seharusnya berpecah dan memiliki sifat kenegeriaan yang tebal kerana hakikatnya sejarah membuktikan kita teah pun memiliki talian persaudaraan yang rapat antara suatu sama lain. Ternyata bangsa Melayu adalah sebuah keluarga bangsa yang sangat besar.
Siri wacana ini merupakan sebuah perkongsiaan yang sangat bermanfaat bagi memahami sejauh manakah besarnya Kedaulatan Raja-raja Melayu. Institusi Raja-raja merupakan sebuah institusi yang tidak boleh dipisahkan dengan masyarakat Melayu. Institusi inilah bermula kewujudan budaya dan ketamadunan Melayu di muka bumi. Institusi Raja-raja Melayu harus dipertahankan kerana institusi ini melambangkan identiti masyarakat Melayu itu sendiri.
Wacana ini telah membuka mata saya sebagai hadirin yang hadir. Sungguhpun fakta sejarah itu tidak boleh diubah, namun setiap orang boleh memiliki kefahaman yang berbeza terhadap sesuatu peristiwa itu. Sebagai contoh, sungguhpun memiliki pendapat yang berbeza namun ahli-ahli panel dalam siri wacana ini bersetuju bahawa masyarakat Melayu di Malaysia tidak pernah dijajah atas alasan kedaulatan Raja-Raja Melayu yang masih kekal utuh.
Pendapat ini mungkin tidak dipersetujui oleh tokoh-tokoh ilmuan lain yang turut memiliki hujahan mereka yang tersendiri. Persoalannya, bagaimana untuk kita memutuskan kebenarannya?. Oleh itu, tidak mahu tidak setiap masyarakat Malaysia perlu sedar akan kepentingan ilmu sejarah dan berusaha untuk memahaminya. Melalui pemahaman sejarahlah masyarakat kita akan mengenali asal usul dam sebab sesuatu peristiwa itu berlaku. Paling penting dengan memahami sejara jugalah kebenaran dapat dirungkai meskipun pahit untuk ditelan agar ikhtibar dapat diambil supaya kesilapan-kesilapan lama tidak berulang lagi.
Ditulis oleh Muhammad Hudar Rahman bin Mohd Rosli yang merupakan Pelajar Latihan Industri, Pusat Kecemerlangan Pendidikan Ummah (PACU)
Lambakan ubat-ubatan haram di Kota Raya

Iklan ubat-ubat haram sudah menjadi suatu kebiasaan terpampang di tepi- tepi jalan seperti tiada noktah.
Harian metro bertarikh 24 Julai 2019 melaporkan ubat-ubatan haram masuk ke kedai-kedai runcit warga China tumbuh ibarat cendawan selepas hujan. Mereka semakin berani beroperasi menjual ubat-ubatan ini di ibu kota berdasarkan hasil serbuan besar-besaran melalui Ops Sifu oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.
Ubat-ubatan ini mempunyai bahan terlarang yang tidak mematuhi piawaian dos yang ditetapkan dikatakan datang dari Tanah Besar China. Racun juga dikesan di dalam ubat ubatan ini juga kebanyakanya telah termaktub dalam racun berjadual mengikut Akta Racun 1952.
Semakin ramai yang terpengaruh menggunakan ubat-ubatan haram disebabkan kurangnya kesedaran masyarakat terhadap informasi terhadap isu ini.
Berdasarkan kajian Kebangsaan Penggunaan Ubat yang dijalankan pada 2008 mendapati, 44.4 peratus rakyat Malaysia kurang memahami penggunaan ubat yang betul. Walau bagaimanapun, pada tahun 2015 didapati peningkatan kefahaman meningkat sebanyak 37 peratus daripada sebelumnya.
Rakyat tempatan yang berpendapatan rendah dijadikan sebagai sleeping partner atau rakan niaga tidak aktif sebagai pengedar dan bertujuan mempengaruhi orang tempatan.
Menurut Dr Ramli Zainal menerusi ruangan Harian Metro pada bulan Februari, cabaran utama yang berlaku adalah apabila masyarakaat terlalu ghairah untuk terampil cantik dan kuat dalam tempoh yang singkat. Oleh sebab itu, produk ini agak sukar dibendung dan semakin mendapat permintaan yang tinggi.
Berikut merupakan langkah-langkah untuk mengesan kesan sampingan jika tersalah memilih ubat:
- Tanda-tanda seperti sakit kepala, loya, berpeluh, tampak pucat atau lemah haruslah diambil berat setelah mengambil ubat-ubatan
- Hipoglisemia contohnya kan berlakujika pesakit kurang gula dalam darah.
- Ubat seperti ubat cair darah dan ubat-ubatan berkaitan mental harus dipantau untuk elakkan masalah sampingan seperti bengkak air dan kecelaruan minda
- Terasa pedih setelah memakannya dan alergi terhadap kulit dan di anggota tubuh yang lain.
Pada pandangan saya, pihak berkuasa terutama pihak Kastam dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) harus merancakkan lagi usaha meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai bahaya ubat-ubatan haram.
Di samping itu, kawalan terhadap keluar masuk ubat-ubatan di sempadan dari lautan dan daratan haruslah diperketatkan agar masalah ini dapat dibendung.
Masyarakat juga digalakkan untuk terus cakna akan kepentingan pengetahuan tentang ubat-ubatan serta tidak mudah terpengaruh dengan media yang sering mempamirkan model-model yang sedia cantik tanpa memikirkan kesihatan diri sendiri.
Dinasihatkan agar setiap lapisan masyarakat mengambil langkah berhati-hati untuk terus peka agar tidak mudah ditipu.
Ditulis oleh Atikah Balqis Bt Abd Rahman yang merupakan Pegawai Operasi i-Backyard Science Pusat Kecemerlangan Pendidikan Ummah (PACU)

Bengkel penulisan isu rakyat yang dibawakan oleh IDRIS Association sedikit sebanyak memberi ruang yang baik untuk para peserta yang hadir.
Apa yang menariknya ialah ianya dimulai dengan sesi perkongsian ringkas oleh penganjur program yang menekankan tentang peri penting penulisan yang mampu memberi perubahan pada segenap lapisan masyarakat hanya melalui mesej yang ditulis.
Tidak cuma itu, kesedaran dan semangat turut disuntik untuk menegenalpasti matlamat jelas dalam diri setiap penulis.
Tuan Ismail Hashim, pensyarah komunikasi di Unisel yang berpengalaman hampir puluh tahun dalam bidang penulisan juga mengatakan tentang sewajarnya seorang penulis itu mempunyai school of thought atau falsafah yang betul untuk menulis.
Saranan ini mengingatkan saya berkenaan ‘kerangka’ atau prinsip yang wajib dipegang bagi mempengaruhi bentuk mesej yang ingin disampaikan.
Kandungan mesej perlulah bertepatan dengan sasaran pembaca, memulakan aktiviti menulis mengikut bidang yang diminati, melakukan pemerhatian terhadap sekeliling, ‘turun padang’ atau bertemu dengan sasaran pembaca, adalah antara tips pembelajaran yang menarik untuk dikongsi.
Kata Tuan Ismail Hashim, “Orang yang tidak membaca tidak akan menulis” dan “Perubahan hanya akan berlaku kepada orang yang lapar dan merasai kelaparan orang lain”
Semoga kita menjadikan kunci ‘deeper in thought, deeper in knowledge’ sebagai pembuka potensi diri untuk menjadi lebih ke hadapan dalam penulisan yang berimpak tinggi serta memberi kesan kepada yang membaca.
Nurul Afiqah Abd Kadir,
Bacelor Sains Politik, UIA,
Sukarelawan PACU.