Dapatkan jawapan kepada persoalan anda mengenai PACU, termasuk program pendidikan, pendaftaran kelas, sumbangan, tajaan dan peluang kerjasama. Bersama PACU, kita membina masyarakat celik Al-Quran dan membangun bersama komuniti.
1. Apakah PACU dan apakah objektif utama pertubuhan ini?
Pertubuhan Kecemerlangan Pendidikan Ummah (PACU) merupakan sebuah pertubuhan yang beriltizam untuk melahirkan masyarakat celik Al-Quran, membangun bersama komuniti dan membasmi kemiskinan jiwa melalui pendidikan, bimbingan Islam serta pembangunan ummah.
PACU berusaha memperluas akses pendidikan Al-Quran, memperkasa potensi individu dan komuniti serta membina masyarakat yang berilmu, berakhlak dan mempunyai kefahaman Islam yang kukuh.
2. Apakah program pendidikan yang ditawarkan oleh PACU?
PACU menawarkan tiga inisiatif pendidikan utama:
- Raudhatul Huffaz (RH): Kelas Al-Quran untuk kanak-kanak berumur 6 hingga 14 tahun.
- Anjung Insyirah (AI): Kelas Al-Quran untuk remaja dan dewasa berumur 15 tahun ke atas.
- Projek Tuisyen Ummah (PROTU): Program sokongan pembelajaran asas 3M, iaitu membaca, menulis dan mengira, untuk kanak-kanak dan orang dewasa yang memerlukan.
3. Apakah manfaat yang saya dapat apabila mendaftar sebagai pelajar PACU?
Anda berpeluang mempelajari bacaan Al-Quran, menghafaz surah-surah pilihan dan hadis, serta menyertai pelbagai program pendidikan yang bermanfaat dan menarik. PACU turut menyediakan modul pembelajaran yang relevan dengan isu semasa untuk menambah ilmu, membina kefahaman Islam dan mengamalkan nilai-nilai murni dalam kehidupan seharian.
4. Saya tidak pandai mengaji dan tidak mempunyai asas agama. Bolehkah saya menyertai kelas PACU?
Ya, sudah tentu! Anda tidak perlu mahir mengaji atau mempunyai asas agama yang mendalam untuk menyertai kelas PACU. Anda boleh belajar secara berperingkat mengikut tahap kemampuan dan pengetahuan sedia ada. Yang penting, anda mempunyai keinginan untuk belajar dan memperbaiki diri. PACU mengalu-alukan sesiapa sahaja yang ingin mendekati Al-Quran dan mendalami ilmu Islam.
5. Saya seorang dewasa. Bolehkah saya mendaftar kelas PROTU?
Ya, boleh! PACU menyediakan PROTU untuk kanak-kanak dan orang dewasa yang memerlukan sokongan pembelajaran asas. Kelas PROTU kanak-kanak dan PROTU dewasa diasingkan supaya pembelajaran lebih sesuai dengan peringkat umur dan keperluan peserta.
PROTU memberi tumpuan kepada kemahiran asas 3M, iaitu membaca, menulis dan mengira. Anda tidak perlu berasa malu untuk bermula dari asas kerana setiap orang berhak mendapat peluang untuk belajar.
6. Kampung kami berminat untuk membuka kelas PACU. Bagaimanakah cara untuk mendaftar?
Pihak kampung perlu memastikan terdapat sekurang-kurangnya seorang tenaga pengajar dan 15 orang pelajar. Setelah kedua-dua keperluan ini dipenuhi, hubungi Pegawai Operasi PACU di 010-447 2018 untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai proses pendaftaran dan pembukaan kelas.
7. Di daerah manakah PACU beroperasi?
PACU menjalankan inisiatif pendidikan di tujuh daerah di Sabah, iaitu Papar, Putatan, Kota Kinabalu, Tuaran, Tongod, Beluran dan Pitas.
Melalui rangkaian kelas dan tenaga pengajar di daerah-daerah ini, PACU berusaha memperluas akses pendidikan Al-Quran dan sokongan pembelajaran kepada komuniti setempat.
8. Bagaimanakah saya boleh menyumbang kepada PACU?
Anda boleh menyumbang dalam bentuk kewangan, tajaan pelajar atau kelas, peralatan pembelajaran, barangan keperluan dan perkhidmatan yang bersesuaian dengan keperluan PACU.
Sumbangan boleh disalurkan melalui laman web rasmi PACU atau pindahan bank Maybank.
Maklumat sumbangan:
- Laman web: https://infaqpacu.com/order/form/tajaanpacu
- Bank: Maybank
- Nama akaun: Pertubuhan Kecemerlangan Pendidikan Ummah
- Nombor akaun: 562834642417
Setiap sumbangan anda membantu menyokong kesinambungan program pendidikan dan pembangunan ummah.
9. Adakah terdapat jumlah minimum untuk menyumbang atau menaja pelajar PACU?
Tiada jumlah minimum untuk sumbangan kepada PACU. Bagi tajaan pendidikan, anda boleh memilih pakej tajaan serendah RM10 atau RM50 untuk seorang pelajar, mengikut pakej yang ditawarkan.
Setiap kelas PACU mempunyai 15 orang pelajar. Anda boleh memilih untuk menaja seorang pelajar atau sebuah kelas, sama ada untuk tempoh sebulan atau setahun terus.
10. Bagaimanakah sumbangan yang diberikan akan digunakan?
Sumbangan akan diperuntukkan mengikut tujuan sumbangan dan keperluan yang dikenal pasti, termasuk pelaksanaan kelas, sokongan pendidikan pelajar, elaun tenaga pengajar, bahan pembelajaran serta pembangunan program komuniti.
11. Adakah PACU menyediakan laporan penggunaan dana dan impak sumbangan?
PACU boleh menyediakan laporan atau maklumat perkembangan program mengikut skop tajaan dan keperluan yang dipersetujui. Laporan boleh merangkumi aktiviti yang dilaksanakan, jumlah penerima manfaat dan dokumentasi program, tertakluk pada ketersediaan data serta perlindungan privasi pelajar.
12. Adakah tenaga pengajar PACU berpeluang meningkatkan kualiti pengajaran dan mendapatkan tauliah?
Ya. PACU membimbing tenaga pengajar melalui kursus, latihan dan modul pembelajaran bagi meningkatkan ilmu, kemahiran serta kualiti pengajaran. Usaha ini turut membantu tenaga pengajar membuat persediaan untuk memenuhi keperluan mendapatkan tauliah yang berkaitan.
13. Saya wakil surau, masjid, syarikat atau NGO dan berminat untuk bekerjasama dengan PACU. Bagaimanakah caranya?
PACU mengalu-alukan kerjasama daripada surau, masjid, syarikat, NGO dan organisasi lain yang mempunyai matlamat untuk memperkasakan pendidikan dan pembangunan ummah.
Bentuk kerjasama boleh merangkumi:
- Pembukaan kelas PACU.
- Penganjuran program pendidikan dan komuniti.
- Tajaan pelajar dan sumbangan dana.
- Sumbangan peralatan pembelajaran.
- Program sukarelawan.
- Pelaksanaan program tanggungjawab sosial korporat (CSR).
Hubungi Pegawai Operasi PACU di 010-447 2018 untuk membincangkan cadangan kerjasama dan mengenal pasti bentuk kolaborasi yang bersesuaian.
14. Bolehkah saya menaja atau menyumbang kepada projek khusus PACU?
Ya! PACU mengalu-alukan sumbangan dan tajaan bagi menyokong projek pendidikan dan pembangunan ummah.
1. Jelajah Sabah PACU pada 14–19 Disember 2026
Jelajah ini bertujuan meningkatkan keterlihatan PACU (visibility), membina jaringan kerjasama (networking) dan mendekati komuniti di daerah operasi PACU. PACU juga berhasrat menjadikan Pitas sebagai daerah celik Al-Quran serta membuka peluang kerjasama dengan NGO dan pihak kampung untuk membuka kelas dan menganjurkan program pendidikan.
2. Projek Pencarian Rumah Wakaf PACU
PACU mencari rumah wakaf di daerah operasinya bagi menyediakan ruang untuk kelas pendidikan dan program komuniti. Sumbangan boleh diberikan dalam bentuk kewangan, hartanah atau perkongsian maklumat rumah yang berpotensi.
Untuk menyumbang atau menjalinkan kerjasama, hubungi Pegawai Operasi PACU di 010-447 2018.