BANGI, Isnin – Hari yang ditunggu ramai telah pun tiba. Selama 2 hari Program Misi Kecemerlangan Pendidikan 2023-2024 bagi siri 1 ini telah pun berlangsung dengan jayanya di kedua buah sekolah baru-baru ini. Program ini telah dibuat pada 01 April 2023 hingga 02 April 2023 yang bertempat di dewan sekolah SMK Sri Tapah, Perak dan SMK Segaliud, Sandakan.
Program ini telah dijayakan bersama Relawan Muda ISMA (RMI) dengan tajaan Yayasan Telekom Malaysia (YTM) yang turut dibantu oleh Pusat Kecemerlangan Pendidikan Ummah (PACU). Tanpa gabungan baik diantara ketiganya maka tidak lengkaplah kelangsungan program ini.
Alhamdulillah sambutan yang luar biasa diberikan oleh para peserta dimana ia dihadiri oleh hampir 65 orang pelajar tingkatan 5 daripada kalangan anak orang asli (Suku Semai). Program ini turut dimeriahkan lagi dengan para sukarelawan daripada UPM dengan jumlah seramai 40 orang di SMK Sri Tapah, Perak.
Manakala, seramai 126 orang pelajar daripada SMK Segaliud, Sandakan telah menghadiri program ini. Ia diserikan juga dengan beberapa orang sukarelawan yang membantu menjayakan program ini.
Antara slot aktiviti yang telah PACU sampaikan selama 2 hari ini adalah Slot Ice Breaking, Kembara Varsiti dan Kerjaya, Saya Pelajar Hebat, Ibnu Haitam dan “Talk Like Hero”.
Sudah pasti pelbagai input yang para pelajar dapatkan. Antara kata-kata yang mereka ungkapkan adalah :-
“Mulai sekarang kita perlu berubah, be strong dan yakin yang kitani hebat!”
“Apapun dugaan yang dialami fokuslah kepada matlamat yang satu. Kita nak cemerlang dalam SPM kan kawan-kawan”
Akhir sekali, program ini diakhiri dengan majlis penutupan yang turut dihadiri oleh En. Khusaini bin Sahari, Pengetua SMK Sri Tapah dan Cikgu Caroline, Penolong Kanan 1 SMK Segaliud, Sandakan termasuklah beberapa orang guru. Terdapat 3 lagi program susulan yang akan dijalankan selepas ini, semoga kerjasama baik ini dapat dijayakan dengan sempurna demi memperjuang pendidikan anak-anak orang asli, InsyaAllah.