Kita akan memasuki bulan yang penuh rahmat, berkat dan keampunan iaitu bulan Ramadhan Al-Mubarak. Pada bulan itulah umat Islam diwajibkan berpuasa. Firman Allah SWT dalam surah Al-Baqarah ayat 183:
يٰٓأَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا۟ كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِن قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ
“Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas
orang-orang yang sebelum kamu supaya kamu bertakwa”
Sebagai orang islam kita sepatutnya melakukan persediaan untuk memasuki bulan mulia ini. Antara persediaan yang boleh dilakukan adalah
• Menambah amal ibadah, umpamanya memperbanyakkan sembahyang sunat, membaca Al-Qur’an, berzikir, bersembahyang fardhu berjemaah di masjid, qiamulail dan seumpamanya.
• Mendalami ilmu agama, khususnya dalam perkara ibadah puasa seperti hukum-hukum puasa dan adab-adabnya. Antara adab-adab tersebut adalah seperti menjaga diri dari melakukan perkara-perkara yang diharamkan ketika berpuasa seperti menjaga pandangan, pendengaran, percakapan, perbuatan daripada perkara-perkara yang diharamkan dan sia-sia. Begitu juga menahan perut daripada makan makanan dan minuman yang syubhah apatah lagi yang haram terutamanya ketika berbuka puasa dan bersahur.

Selain persediaan rohani kita perlu juga melakukan persediaan fizikal dan kesihatan. Ini kerana, dengan tubuh badan yang sihat akan memudahkan kita menjalankan ibadah puasa dan ibadah-ibadah yang lain seperti tadarus Solat terawih. Antara persediaannya adalah.
Pertama : Memilih dan menyediakan makanan daripada sumber yang halal dan bersih. Bagi mereka yang masak untuk diri sendiri, haruslah menyediakan makanan yang berkhasiat dan juga kepada mereka menjual makanan di bazar Ramadan.
Kedua : Mula tido awal dan bangun awal, ini akan memudahkan urusan untuk bangun sahur.
Ketiga : Meneruskan aktiviti-aktiviti harian yang menjerus kepada kegiatan fizikal seperti senaman ringan dan sebagainya mengikut kemampuan masing-masing untuk mengekalkan kecerdasan kerana ibadah puasa bukan penghalang untuk melakukan aktiviti-aktiviti atau kerja-kerja harian tersebut.
Oleh itu, mari kita bersama-sama menikmati bulan Ramadan ini dengan memperbanyak ibadah. Lakukan segala persiapan rohani dan fizikal agar Ramadan kali ini kita lebih bersemangat.