Home Darul Insyirah Peranan belia menuju negara tua 2030

Peranan belia menuju negara tua 2030

by adminpacu

Peranan belia menuju negara tua 2030

Mengikut unjuran PBB (2009), Malaysia akan mencapai negara tua menjelang tahun 2030 apabila penduduk berumur 60 tahun dan ke atas mencapai 15% daripada jumlah penduduk. Analisis situasi kependudukan dan kekeluargaan di Malaysia yang diterbitkan oleh Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara menyatakan penurunan kadar kesuburan yang pesat mempercepatkan penuaan negara. Selain itu, jangka hayat penduduk telah meningkat daripada 71.2 tahun pada 1991 kepada 74.7 tahun pada 2016 seiring dengan kemajuan penjagaan kesihatan di negara ini menjadi faktor Malaysia menuju negara tua.

Maka, Dasar Warga Emas Negara telah diperkenalkan oleh kerajaan bagi mempersiapkan negara menghadapi negara tua. Dasar ini dirangka bagi melahirkan warga emas yang berdikari, bermartabat diri dan dihormati dengan mengoptimumkan potensi diri melalui penuan sihat, positif, aktif, produktif dan menyokong untuk meningkatkan kesejahteraan hidup dalam pembangunan negara.  

Bagi mencapai sebuah negara tua yang mampan, semua pihak perlu melaksanakan peranan masing-masing dan tidak terhad kepada usaha-usaha kerajaan sahaja. Golongan belia juga tidak terkecuali dalam berperanan membangun warga emas yang produktif. Belia terkenal dengan semangat yang berkobar-kobar untuk melakukan sesuatu dan mempunyai cita-cita yang tinggi. Manakala warga emas mula tidak asing dengan pengalaman yang banyak dan asam garam kehidupannya yang secukup rasa. Maka, jika digabungkan dan dirapatkan jurang antara dua golongan ini sudah pasti akan membawa keuntungan kepada agama, bangsa dan negara yang tercinta ini.

Namun, persoalan yang timbul adalalah bagaimana untuk merapatkan jurang antara dua generasi ini dan apa yang perlu dilakukan belia untuk mempersiapkan negara menjelang Negara Tua 2030. Jika diteliti asas kepada hubungan baik antara sesama manusia adalah interaksi yang berkesan dan saling memahami. Oleh itu, golongan belia seharusnya menjaga adab-adab terhadap warga emas sepertimana yang telah diajarkan oleh Baginda Nabi Muhammad dalam hadis yang diriyawatkan oleh Tirmidzi “Bukanlah dari kami siapa yang tidak menghormati yang tua, dan tidak menyanyangi yang muda”. Antara contoh yang boleh diketengahkan adalah semudah memberi laluan kepada warga emas dalam barisan untuk menaiki bas, menolong mereka melintas jalan, memberi keutamaan tempat duduk di dalam tren LRT dan banyak lagi perkara-perkara mudah yang tanpa disedari merupakan perkara yang boleh dilakukan dalam seharian kehidupan kita.

Di samping itu, golongan belia perlu melazimi amalan bertanya khabar dan bertegur sapa dengan warga emas walau di mana-mana sekalipun. Antara tempat yang sesuai untuk diaplikasikan adalah di masjid. Masjid adalah tempat untuk solat berjemaah dimana semua lapisan masyarakat tidak mengira umur akan berada dalam satu jemaah untuk sujud kepada yang Maha Esa. Hubungan jemaah itu tidak tamat apabila menoleh dan memberi salam ke kanan dan kiri. Bahkan, inilah tempatnya belia sewajarnya bebual dan bertukar pandangan serta mendapatkan pengalaman daripada warga emas yang ramainya menghabiskan waktu terluang mereka di masjid-masjid. Impaknya, jurang antara dua generasi yang berbeza zaman ini dapat dirapatkan.

Kesimpulannya, seluruh rakyat Malaysia termasuk warga emas adalah aset kepada negara. Warga emas juga tidak terkecuali mampu untuk menyumbang kepada pembangunan negara. Golongan ini tidak seharusnya diabaikan dan dibiarkan tanpa penjagaan. Oleh itu, golongan belia seharusnya turut berperanan berganding bahu membangunkan warga emas agar Negara Tua yang kita akan hadapi adalah negara yang memiliki warga emas yang produktif, mempunyai jati diri, pegangan agama yang kuat dan bukan menjadi beban kepada negara. 

Artikel ini ditulis oleh Muhammad Hilmi bin Muhammad Rosli , Sukarelawan PACU, Ijazah Kejuruteraan Awam, UIAM

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.