Home i-Backyard Science Wabak denggi

Wabak denggi

by adminpacu

Wabak denggi ialah antara wabak-wabak penyakit yang boleh membawa kepada kematian. Biarpun sudah beberapa tahun kehadiran wabak ini disedari telah mengancam nyawa masyarakat secara umumnya, tetapi tiada tanda-tanda bahawa wabak ini semakin berkurangan. Adakah masyarakat tidak lagi ambil tahu, kurang sedar dan mengambil peranan? Persoalan ini ditimbulkan kerana, sehingga ke hari ini, sebanyak 138 kes kematian disebabkan wabak denggi dicatatkan. Tidak cuma itu, turut dilaporkan oleh Bilik Gerakan Denggi Kebangsaan CPRC bahawa kes wabak denggi ini semakin meningkat dan membimbangkan. Situasi ini dapat kita lihat berdasarkan jadual di bawah;

NEGERI KES HARIAN
PADA
10 Sep 2019
*JUMLAH KES TERKUMPUL
DARI 30 Dec 2018 HINGGA
10 Sep 2019
JOHOR 27 8,060
KEDAH 3 1,300
KELANTAN 9 4,135
MELAKA 3 1,582
NEGERI SEMBILAN 0 1,663
PAHANG 8 1,661
PERAK 7 2,250
PERLIS 0 252
PULAU PINANG 4 3,516
SABAH 12 3,717
SARAWAK 10 1,569
SELANGOR 150 52,182
TERENGGANU 2 462
WP KUALA LUMPUR 40 10,842
WP LABUAN 0 32
WP PUTRAJAYA 2 918
MALAYSIA 277 94,141

*Sumber Daripada Bilik Gerakan Denggi Kebangsaan CPRC,
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)

Selain itu, peningkatan kes ini dapat juga diketahui apabila membandingkan bilangan kes antara bulan tertentu. Sebagai contoh, Akhbar dari Sinar Harian bertarikh 19 Ogos 2019 mencatatkan peningkatan sebanyak 263 peratus iaitu sebanyak 1438 kes dalam tempoh Januari sehingga Ogos 2019 yang jika dilihat pada detik ini ia meningkat kepada 1582 kes di Melaka. Tidak cuma itu, Akhbar dari Metro bertarikh 4 September 2019 pula melaporkan peningkatan sebanyak 101 peratus di mana pada awalnya berjumlah 7761 kes kepada 8060 kes di Johor. Andai kita mengambil perbandingan secara keseluruhan pula, sebanyak 72, 356 kes denggi dimaklumkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia pada sekitar bulan Mei hingga Julai 2019 yang akhirnya kini mencatatkan jumlah yang agak besar iaitu 94,141 kes seluruh negara. Di samping itu, kadar kematian pada tahun 2018 adalah sebanyak 61 kematian sahaja, namun pada bulan ini jumlah yang dicatatkan sudah mencapai 138 kes kematian. Keadaan ini sepatutnya melahirkan kerisauan dan urgensi kepada semua pihak untuk melakukan perubahan.

Tambahan lagi, terdapat banyak faktor-faktor yang didapati membawa kepada wujudnya kes denggi dan peningkatannya. Pertama, sistem pembuangan sampah yang tidak teratur. Kedua, kurang kerjasama dalam kalangan penduduk tertentu untuk memberi keizinan dan penyertaan dalam aktiviti pemeriksaan pembiakan nyamuk aedes serta kawalan terhadap rumah individu yang dijalankan oleh pihak berkuasa. Ketiga, penduduk-penduduk berkenaan juga gagal dalam memastikan kawasan masing-masing sentiasa dalam keadaan bersih serta jauh dari wujudnya habitat dan kemungkinan pembiakan aedes di kawasan berikut. Sehubungan dengan itu, situasi ini perlu diubah melalui usaha-usaha setiap individu dalam melakukan pencegahan wabak denggi dari terus berlaku,

Antara cara-cara yang perlu dilakukan oleh setiap penduduk ialah, mengesan lokaliti hotspot denggi dan terus mengambil langkah pencegahan atau kaedah alternatif seperti menanam tumbuhan khas yang boleh menghalau nyamuk iaitu pokok bunga tahi ayam, serai wangi, bunga selasih, akar wangi,  lidah buaya, floramaster, tongkat ali, mahagoni atau mambu dan juga jeremin (KKM, n.d). Seterusnya, setiap individu juga tidak disarankan hanya mengharapkan usaha dari Pejabat Kesihatan Daerah untuk melakukan pencegahan. Apa yang boleh dilakukan juga adalah, berperanan melaporkan aktiviti-aktiviti atau persekitaran yang dikhuatiri boleh membawa wabak denggi seperti pasar, kedai makan dan lain-lain. Usaha paling penting juga adalah setiap penduduk haruslah memberi kerjasama kepada pihak berkuasa dan turut melibatkan diri dalam aktiviti pembersihan dan pantauan terhadap tempat tinggal masing-masing.

Bukan itu sahaja, masyarakat dinasihatkan agar tidak membuka pintu pada awal pagi dan senja, meneliti kawasan tumpuan pembiakan nyamuk Aedes seperti di akuarium, imba, kolam mandi, tempayan, tayar buruk, saluran air hujan, longkang yang tersekat dan pelbagai lagi tempat yang mempunyai takungan air (Choy & Sulaiman, 2016). Menurut Abdullah & C, 2016) juga, setiap individu boleh memeriksa longkang bumbung yang tersumbat, membersihkan kolam atau kolah mandi sekurang-kurangnya seminggu sekali, menukar air di takungan air atau hiasan berair juga pada kadar yang sama, menghapuskan tayar lama, menyimpan secara terbalik bekas-bekas yang tidak digunakan. Turut boleh dipraktikkan aktiviti meletakkan kumbang air atau nama saintifiknya, Mesocyclops krustasea, di dalam bekas atau tangki air yang dikenal pasti boleh membawa kepada pembiakan nyamuk Aedes. Penting untuk diingatkan kepada semua untuk tidak melewatkan usaha mendapatkan rawatan dengan kadar segera jika wujud tanda-tanda wabak demam denggi.

Sesungguhnya, melakukan pencegahan itu lebih baik dari mengubati. Justeru itu, setiap pihak tidak kira agensi kerajaan, bukan kerajaan, institusi keagamaan, pendidikan mahupun kebajikan haruslah cakna dan memandang serius terhadap isu persekitaran ini melalui sokongan serta kerjasama dalam melakukan aktiviti-aktiviti pencegahan wabak denggi. Konsistensi dan komitmen berterusan oleh masyarakat setempat juga amat digalakkan. Akhir sekali, bersama-samalah kita memulakan langkah dengan memaknai kempen ‘Banteras denggi, bermula dengan saya’ seperti mana yang diumumkan oleh  Datuk Seri Dr Dzulkefly, Menteri Kesihatan dalam Sambutan Hari Denggi ASEAN peringkat kebangsaan tahun ini. Cegahlah ia sebelum terlambat!

Sumber:

Daud, Ridauddin. “Jumlah Kematian Akibat Denggi Meningkat.” Sinarharian, Sinarharian, 28 July 2019. Diambil dari http://sinarharian.com.my/article/40275/BERITA/Nasional/Jumlah-kematian-akibat-denggi-meningkat.

“Denggi: 3,488 Kes, 6 Kematian Dicatat Di KL, Putrajaya Sejak Januari.” Free Malaysia Today, 29 July 2018. Diambil dari, http://freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2018/07/29/denggi-3488-kes-6-kematian-dicatat-di-kl-putrajaya-sejak-januari/.

Er, A. C., & Abdullah, W. (2017). Menangani wabak Denggi di Malaysia: Satu tinjauan kaedah rawatan dan pencegahan. Geografia: Malaysian Journal of Society and Space12(9).

Farhana, Nor. “Kes Denggi Meningkat Di Melaka.” Sinarharian, Sinarharian, 19 Aug. 2019. Diambil dari http://sinarharian.com.my/article/43664/EDISI/Melaka-NS/Kes-denggi-catat-peningkatan.

Hussein, Izlaily Nurul Ain. “Meningkat 100%.” HM Online, 4 Sept. 2019. Diambil dari, http://hmetro.com.my/mutakhir/2019/09/493027/meningkat-100.

“Laman Utama, Kaedah Alternatif Halau Nyamuk.” IDengue. Diambil dari, idengue.arsm.gov.my/page2.php?kandungan=content%2Fkaedah_alternatif.pdf.

Shukri, Rohanis. “Kes Denggi Meningkat 895 Peratus Tahun ini”. Bharian.com.my, Diambil dari http://bharian.com.my/berita/nasional/2019/07/590105/kes-denggi-meningkat-895-peratus-tahun-ini.

Sulaiman, N. S., & Er, A. C. (2018). PENGAWALAN DAN PENCEGAHAN DENGGI DI MALAYSIA: SATU TINJAUAN TERHADAP PENGLIBATAN KERAJAAN MALAYSIA (Dengue Control and Prevention in Malaysia: A Review of Government Involvement). e-Bangi13(5).

You may also like

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

X