Home i-Backyard Science Penjagaan alam sekitar dari segi perspektif Islam

Penjagaan alam sekitar dari segi perspektif Islam

by adminpacu

Penjagaan alam sekitar dari segi perspektif islam

Islam sangat menitikberatkan aspek penjagaan dan pemuliharaan alam sekitar bagi mewujudkan suasana yang harmoni, selesa dan seimbang serta islam menganjurkan manusia supaya tidak melakukan kerosakan ke atas alam sekitar. Alam sekitar adalah milik mutlak Allah yang dipinjamkan kepada manusia untuk kelangsungan hidup dan pembangunan tamadun. Allah berfiman “Allah jualah yang menguasai alam langit dan bumi serta segala yang ada padanya; dan Dialah jua Yang Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu” (al-Maidah : 120). Oleh itu, Manusia tidak berhak melakukan sewenang-wenangnya terhadap alam sekitar. Ini bersesuaian dengan status manusia sebagai khalifah di muka bumi yang mana dibekalkan dengan kebolehan dan kelebihan yang tidak ada pada makhluk lain untuk menyembah dan mengabdikan diri kepada Allah SWT.

Dalam pada itu, islam juga sangat mengutamakan kebersihan kerana ia turut menjamin kesihatan dan menjaga kebersihan merupakan satu ibadah yang diwajibkan kepada manusia. Seperti dalam hadis nabi, telah mengkhabarkan kepada kami Muslim bin Ibrahim telah menceritakan kepada kami Aban Ibnu Yazid, telah menceritakan kepada kami Yahya bin Abu katsir dari Zaid dari Abu Salam dari Abu Malik Al Asy’ari Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Kebersihan adalah sebahagian daripada keimanan”[1]. Konsep kebersihan dititikberatkan oleh Islam bagi memastikan alam sekitar terurus dan terpelihara. Aspek kebersihan ini merupakan pelajaran pertama yang dipelajari oleh setiap umat Islam apabila mempelajari bidang fiqh kerana kebersihan merupakan kunci kepada kesempurnaan dan diterimanya ibadah. Begitu juga dalam persediaan menunaikan solat seperti pakaian, tempat solat dan hati seorang Muslim itu juga hendaklah bersih.

Dari segi pemeliharaan alam sekitar, sebagai seorang Muslim, kita perlu memahami bahawa segala usaha utk memelihara dan membaikpulih alam sekitar adalah sama seperti menjaga agama.  Hal ini kerana, segala kemungkaran dan dosa mencemari serta memusnahkan alam sekitar sebenarnya mengganggu intipati hidup beragama kerana secara tidak langsung menodai kewujudan manusia di muka bumi. Perbuatan merosakkan alam sekitar sama seperti menafikan sikap adil dan ihsan, sedangkan kedua-dua sikap ini merupakan perintah yg perlu dilaksanakan, sebagaimana firman Allah: “Sesungguhnya Allah menyuruh kamu berlaku adil dan berbuat kebajikan (ihsan), memberi kepada kaum kerabat, dan Allah melarang daripada perbuatan keji, kemungkaran dan permusuhan. Dia memberi pengajaran kepadmu agar kamu dapat mengambil pengajaran” (an-Nahl : 90). Perbuatan mencemarkan dan merosakkan alam sekitar juga melanggar fungsi kekhalifahan yang telah dipertanggungjawabkan kepada manusia. Ini kerana bumi bukan milik manusia untuk kita berbuat sesuka hati tetapi bumi adalah milik Allah yg dipinjamkan kepada manusia dan dituntut untuk menjalankan segala perintah Allah ke atasnya.

Selain daripada itu pemeliharaan alam sekitar ini juga sama seperti menjaga nyawa sendiri kerana kerosakan alam sekitar, pencemaran dan pengurangan sumber alam serta ketidakseimbangan alam akan membahayakan kehidupan manusia. Islam memberi penekanan yang sangat besar terhadap kelangsungan hidup manusia yang mana dapat dilihat apabila Islam menjadikan perbuatan seperti pembunuhan terhadap jiwa sebagai dosa besar sebagaimana yang telah ditegaskn dalam al-quran. “Barangsiapa yang membunuh seorang manusia, bukan karena orang itu (membunuh) orang lain, atau bukan karena membuat kerusakan dimuka bumi, maka seakan-akan dia telah membunuh manusia seluruhnya. Dan barangsiapa yang memelihara kehidupan seorang manusia, maka seolah-olah dia telah memelihara kehidupan manusia semuanya…”(al-Maa’idah : 32)

Tambahan lagi, menjaga alam sekitar sama seperti menjaga keturunan yang mana menjaga keturunan bermaksud menjaga kelangsungan generasi manusia akan datang. Penyelewengan dan kerosakan terhadap alam sekitar sepertt meneroka dan mengambil hasil bumi secara berlebihan yg menjadi hak milik generasi akan datang dianggap sebagai mengancam kelangsungan hidup keturunan masa depan. Sekiranya kita bertanggungjawab terhadap pendidikan, kesihatan, moral dan akhlak generasi akan datang, maka semestinya kita juga bertanggungjawab terhadap gejala-gejala yang boleh merosakkan alam sekitar yang akan menjadi penyebab kepada rosaknya kehidupan keturunan masa hadapan

Pemeliharaan alam sekitar ini juga boleh memberi kita pahala secara tidak langsung seperti dalam hadis rasulullah “Sesiapa daripada orang muslim yang menanam tanam-tanaman dan hasilnya dimakan oleh burung atau manusia ataupun binatang maka baginya mendapat pahala sedekah.”[2]

Secara holistiknya, tidak mungkin alam semesta ini menjadi tempat kediaman yang sihat, selamat dan sejahtera sekiranya keseimbangan yang telah diciptakan Allah diganggu dan dirosakkan yang mana pada hari ini didapati campur tangan manusia yang tidak bertanggungjawab telah merosakkan keseimbangan sistem semujadi alam. Akibatnya, ia telah mengundang banyak permasalahan lain kepada kehidupan manusia. Oleh daripada itu, Setiap daripada kita perlu meletakkan kepentingan pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar sebagai matlamat utama dalam kehidupan, serta berusaha menjaga dan menyelamatkan khazanah yang tidak ternilai ini daripada terus dimusnahkan agar alam sekitar terus kekal sihat dan seimbang untuk kelangsungan generasi akan datang.

Ditulis oleh Abdull Nizam bin Abd Gapar yang merupakan Pelajar latihan Industri Pusat Kecemerlangan Pendidikan Ummah (PACU)


[1] Husain Salim Asad ad-Daroni, Sunan Darimi, Kitab: Tahharah, Bab: bersuci, No. 651

[2]  Al-Bukhari, Sahih al-Bukhari, Kitab: al-Muzara’ah, Bab: Keutamaan bertani dan menanam jika sebahagiannya dimakan, No. 2152

You may also like

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

X