Home i-Backyard Science Pengajaran dari Ciliwung; jangan biarkan sungai kita tercemar!

Pengajaran dari Ciliwung; jangan biarkan sungai kita tercemar!

by adminpacu

Pengajaran dari Ciliwung; jangan biarkan sungai kita tercemar!

Sungai Ciliwung merupakan sebuah sungai yang panjangnya mengalir sepanjang 120 Kilometer dari Kapubaten Bogor hingga ke Utara Jakarta. Sungai ini sangat dikenali di Indonesia dengan julukan sungai yang paling kotor di dunia dan sering menyebabkan bencana banjir kilat yang melanda Jakarta saban tahun. Keadaan sungai ini cukup meloyakan bagi sesiapa yang memandangkan dengan dipenuhi timbunan sampah dengan bau yang sangat busuk serta di sesetengah kawasan airnya sudahpun bertukar menjadi warna hitam. Walaubagaimanapun, keadaan ini cukup berbeza sekali dengan apa yang digambarkan pada ratusan tahun yang lalu apabila kejernihan dan kebersihan Sungai Ciliwung sering menjadi pujian oleh pedagang-pedagang luar yang menjalankan perniagaan di pelabuhan Batavia. Selama ratusan tahun lamanya, air Ciliwung dikatakan mengalir bebas, tidak berlumpur dan tenang sehingga banyak kapal-kapal dagang yang berlabuh singgah untuk mendapatkan bekalan air bersih daripada sungai itu. Sumber air yang mengalir ini dapat dimanfaatkan oleh masyarakat tempatan untuk aktiviti harian untuk minum, mandi dan mencuci pakaian. Seorang pedagang Perancis Jean-Baptise Tavernier, sebagaimana yang dikutip oleh Van Gorkom, mengatakan Ciliwung memiliki air yang paling baik dan paling bersih di dunia.

            Keindahan dan potensi perdagangan yang terdapat di sekitar aliran sungai Ciliwung menyebabkan Belanda membangunkan kota Batavia mengikut tata kota di Belanda dengan kedua-dua belahan sungai ini dibina dengan tembok parit yang sejajar dan saling melintang di mana di kedua-dua tembok parit itu dibina dengan deretan bangunan Belanda, rumah kedai dan penempatan. Pemandangan kota Batavia ini cukup indah sehingga ia sempat diberi julukan sebagai “Ratu dari Timur”. Banyak pendatang asing yang menyamakan kota ini setanding dengan kota ternama di Eropah.

Keadaan Sungai Ciliwung di Tanjung Timur pada 1930

Namun, itu adalah kegemilangan Sungai Ciliwung pada masa yang lampau. Setelah Indonesia merdeka daripada penjajahan Belanda, kota Batavia dipilih sebagai ibu kota dengan menggunakan nama Jakarta. Kota ini dijadikan pusat ekonomi terpenting sehingga menarik lebih ramai pendatang dari luar kota Jakarta untuk berhijrah ke situ. Populasi di Jakarta semakin meningkat sehingga menyebabkan proses urbanisasi membangun dengan begitu pesat. Proses urbanisasi ini menyebabkan banyak kawasan penempatan tidak terancang dan setinggan yang wujud di sekitar kawasan sungai Ciliwung. Sampah domestik daripada rumah dihumban ke dalam sungai kerana kurangnya kesedaran terhadap kepentingan penjagaan sungai tersebut. Akibatnya, kualiti air di sungai Ciliwung semakin tercemar sehingga menyebabkan Ciliwung beralih fungsi daripada sebuah kawasan pelabuhan entrepot kepada kawasan atau “tempat pembuagan sampah dan tinja terpanjang di dunia”. Sungguhpun mempunyai takungan air yang banyak, namun kedalaman sungai sudah menjadi semakin cetek. Dalam masa beberapa tahun kelebaran kali Sungai Ciliwung yang mencapai 25 meter telah berkurangan kepada 5 hingga 10 meter kerana dipenuhi bangunan dan banyaknya sampah yang menyebabkan aliran tersumbat.

Pihak Kementerian Lingkungan Hidup dan Kehutanan Indonesia mencatatkan bahawa terdapat sekitar 7000 tan sampah yang dibuang ke Kali Ciliwung setiap hari daripada hulu hinggalah ke hilir Sungai. Wilayah yang paling teruk pencemaran sampah adalah Bogor dan Depok. Sekitar 180 tan atau 8% daripada jumlah sampah itu telah mengendap dan mencemari sungai tersebut. Berdasarkan satu laporan pada 2014, di sepanjang aliran Sungai Ciliwung di daerah Jakarta Timur dan Jakarta Selatan terdapat 178 titik tempat pembuangan sampah secara tidak bertanggungjawab oleh orang awam ada antara kawasan aliran sungai itu yang dicemari oleh gunungan sampah yang mencapai ketinggian 12 meter.

            Longgokan Sampah yang luar biasa di Sungai Ciliwung juga terkait dengan bencana banjir kilat yang sering melanda ibu kota Jakarta dan wilayah-wilayah sekitarnya. Limpahan air dari sungai Ciliwung berpunca daripada curahan hujan yang begitu lebat serta longgokan sampah-sampah yang menyebabkan saluran longkang tersumbat, hal ini ditambah dengan kepesatan urbanisasi di sekitar kawasan sungai yang meningkatkan aktiviti pembuangan sampah.  Hujan lebat yang berlaku bukan hanya mengirimkan air bah namun ia juga turut mengirimkan lautan sampah-sampah. Meskipun kebanyakkan sampah yang ada merupakan batang pokok yang terhakis akibat derasan air, namun terdapat banyak juga sisa-sisa sampah domestik yang dikesan bersama-sama air bah itu. Sampah-sampah ini bukan hanya berasal dari Jakarta tetapi ia juga turut berasal daripada wilayah-wilayah lain seperti Bogor yang dibawa arus. Pada tahun 2017, dicatatkan bahawa 80 orang meninggal dunia akibat bencana banjir yang berasal dari limpahan Sungai Ciliwung yang bermuara di Jakarta. Tidak hanya itu, banjir tersebut turut menyebabkan sebanyak 340,000 penduduk kehilangan rumah serta menyebabkan kerugian sekitar 8,8 Triliun Rupiah atau lebih daripada 2,6 Bilion Ringgit.

            Melihat keadaan Sungai Ciliwung yang semakin parah, kerajaan Indonesia cuba melaksanakan pelbagai inisiatif bagi mengurangkan pencemaran yang berlaku. Kerajaan tempatan telah memulakan program mengorek dan memperbesarkan sungai berkenaan pada 2014, ia sekaligus memberi nafas baharu kepada ibu kota yang diduduki oleh 10 juta penduduk tersebut. Selain itu, pelbagai program untuk membersihkan Ciliwung telah dilaksanakan kerajaan bagi meningkatkan kesedaran masyarakat untuk membersihkan dan memulihara kelestarian sungai tersebut. Pada bulan Jun 2019, program ‘Gotong-Royong Bebersih Ciliwung 2019’ telah memecah rekod apabila menarik seramai 8000 orang untuk membantu membersihkan sepanjang 69,3 KM aliran sungai Ciliwung. Kerajaan juga telah menjalankan program pemindahan dengan merobohkan kawasan setinggan di sepanjang sungai berkenaan bagi membolehkan ia diperbesarkan. Kini keadaan Sungai Ciliwung sudah semakin baik . Kini di beberapa kawasan sungai Ciliwung terdapat kelibat penduduk tempatan yang menebar jala untuk menangkap ikan tidak kurang juga kehadiran kanak-kanak yang terjun ke dalam sungai untuk mandi-manda. Sungguhpun keadaan semakin baik, perjalanan Ciliwung masih lagi panjang dan memerlukan usaha yang konsisten untuk memulihkan sungainya daripada pencemaran secara total. Ia juga menjadi langkah permulaan kepada kerajaan Indonesia untuk memulihkan sungai-sungai lain yang turut tercemar seperti Sungai Citarum di Jawa Barat yang telah pun tersenarai sebagai sungai terkotor di dunia menurut World Bank.

Nah, bagaimana pula keadaan sungai-sungai di Malaysia pada hari ini?. Ternyata keadaan sungai di negara ini tidaklah sebaik mana yang kita harapkan. Jabatan Alam Sekitar (JAS) pernah menyenaraikan sebanyak 51 sungai tercemar di seluruh Malaysia berdasarkan Laporan Kualiti Alam Sekeliling 2017. Antara penyebab sungai di Malaysia tercemar adalah aktiviti industri, kumbahan, penternakan, dan sikap membuang sampah sesetengah masyarakat. Antara contoh sungai yang tercemar adalah Sungai Pinang di Pulau Pinang. Sungai yang panjangnya merentasi 3.2 kilometer ini telah dicemari dengan sampah-sampah yang kelihatan terapung dengan keadaan sungai yang mengeluarkan bau busuk dan keadaan airnya yang kotor. Di Sungai Klang pula, seringkali terdapat laporan berita mengenai pembuangan sisa-sisa bahan kimia ke dalam sungai tersebut sehingga menjejaskan kualiti air dan membahayakan penduduk dengan penyakit. Rupa-rupanya, masih ramai lagi masyarakat di Malaysia tidak memiliki kesedaran yang tinggi terhadap kelestarian alam. Dengan kemajuan dari segi infrakstruktur, teknologi, pengangkutan awam dan pencakar langit kita mengharap bahawa Malaysia akan bergelar negara maju menjelang 2020 dan ke atas. Tetapi sekiranya isu-isu seperti ini tidak dapat ditangani, percayalah bahawa kita tidak akan ke mana-mana malah ia akan memburuk imej negara pada pandangan masyarakat luar yang menganggap kita masih lagi memiliki minda masyarakat dunia ketiga. Sungguhpun pencemaran sungai di negara ini tidak termasuk dalam predikat sungai terkotor di dunia seperti Ciliwung ataupun Citarum. Namun, sekiranya hal ini dipandang enteng tidak mustahil pada suatu hari nanti keadaan sungai-sungai di negara ini akan lebih parah daripada negara-negara tetangganya. Ingatlah setiap tindakan yang kita lakukan pasti akan ada akibatnya begitu juga kesan buruk yang akan dirasai sekiranya kita mengabaikan alam sekitar. Allah berfirman dalam surah Ar-Ruum ayat ke 41; “Telah Nampak kerosakan di darat dan di laut disebabkan kerana perbuatan tangan manusia, supaya Allah merasakan kepada mereka sebahagian dari (akibat) perbuatan mereka, agar mereka kembali (ke jalan yang benar:”

Oleh, Muhammad Hudar Rahman Bin Mohd Rosdi , Pelajar Industri PACU

You may also like

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

X