Gajah dan orang Melayu

Pada hari ini gajah sering dilihat sebagai seekor haiwan buas yang membawa kerosakkan kepada harta benda dan tanaman. Akibatnya, gajah sering diburu dan populasinya semakin pupus. Namun, tahukah anda bahawa pada suatu ketika dahulu gajah mempunyai hubungan yang sangat dekat dengan budaya masyarakat Melayu.


Melalui karya-karya tradisi masyarakat Melayu, kita akan dapat melihat peranan yang dimainkan oleh gajah merangkumi aspek politik, sosial dan ekonomi. Menurut catatan Ibnu Batutta yang pernah hadir datang ke Tanah Melayu, beliau mencatatkan bahawa jumlah gajah di Alam Melayu begitu banyak dan digunakan untuk pengangkutan. Menurut Ibnu Battuta gajah bukan sahaja digunakan sebagai medium untuk bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain tetapi turut digunakan sebagai kenderaan untuk mengangkut barang. Gajah bukan hanya dimiliki oleh golongan bangsawan semata-mata tetapi juga turut dimiliki oleh rakyat biasa. Setiap pemimpin sesebuah kerajaan akan memiliki gajah tunganggannya sendiri. Gajah juga turut digunakan sebagai haiwan tunganggan untuk peperangan1. Bagi pertempuran di darat, kerajaan Melaka dilihat banyak menggunakan gajah sebagai senjata peperangan. Sebagai contoh, seawal rampasan kuasa oleh Raja Kassim (Sultan Muzzafar Syah), baginda menyerbu Istana Melaka menggunakan gajah tunganggannya iaitu Juru Demang. Kekuatan angkatan perang kerajaan Aceh juga turut diperakui oleh signifikan kehadiran gajah. Hal ini turut diperakui sendiri oleh seorang Laksamana de Beulieu seorang pedagang Perancis yang menyatakan bahawa kekuatan Sultan di Laut terdiri daripada kapal-kapal Perang manakala kekuatan ketenteraan di darat pula dibarisi oleh infranti yang terdiri daripada pasukan bergajah2.

Faktor yang memboleh masyarakat Melayu pada waktu dahulu menggunakan haiwan ini untuk tujuan-tujuan tertentu adalah kerana kemahiran orang Melayu untuk menguasai ilmu-ilmu yang berkaitan dengan gajah. Ilmu Gajah ini dianggap sebagai salah satu contoh kepandaian masyarakat Melayu. Terdapat sebuah nashkah bertulisan jawi yang memerihalkan membincangkan tentang ilmu untuk memelihara gajah, merawat, menawan hati serta menjinakkan gajah liar yang digelar sebagai Mantra Gajah. Nashkah ini pernah dimiliki oleh Dato Seri Andika Raja di Hulu Perak yang turut dikenali sebagai Orang-Orang Kaya Seri Andika Raja yang merupakan „principal chief‟ di Hulu Perak. Ia memiliki empat bahagian yang memiliki perihal ilmu mengenai gajah secara langsung dan tidak langsung3.


Antara intipati penting dalam nashkah ini adalah ilmu untuk menangkap dan menawan gajah. Seseorang yang ingin menangkap gajah harus menguasai jampi serapah dalam nashkah ini dan memiliki keberanian, pemahaman untuk mengetahui kekuatan dan kelemahan gajah yang dilakukan oleh seorang Specialist iaitu Pawang Gajah. Secara realitinya, seseorang pawing gajah itu perlu mahir ilmu menangkap gajah dari segi teori dan praktikalnya4. Apabila seseorang itu sudah memiliki gajahnya yang tersendiri, beliau perlu menguasai ilmu untuk memelihara haiwan tersebut supaya apabila terjadi sesuatu kepada gajah tersebut, beliau akan dapat menyelesaikannya. Sebagai contoh, dalam nashkah Mantra Gajah juga turut diperihalkan mengenai pelbagai jenis ramuan perubatan herba daripada campuran pelbagai jenis tumbuhtumbuhan untuk mengurangi penyakit-penyakit gajah. Meskipun gajah dianggap sebagai seekor haiwan yang gagah dan tinggal di dalam hutan tetapi ia juga tidak terlepas daripada terkena penyakit seperti cirit-birit, gila, sakit kulit, sakit mata, batu karang dan sebagainya. Setiap penyakit-penyakit ini diajarkan penawarnya melalui nashkah ini. Gajah-gajah tersebut akan diberikan adunan yang telah dicampurkan dalam makanan mereka yang terdiri daripada ramuan akar kayu dan daun-daun ubat5.


Ketilitian orang Melayu dalam ilmu memiliki dan memelihara gajah ini telah dihuraikan oleh Andaya dalam bukunya iaitu Perak: The Abode of Grace. Dalam tulisannya, beliau mengelaskan kepandaian orang Melayu ini dalam Ilmu Gajah ini dengan istilah “The Science Of Elephants”. Beliau turut menambah bahawa amalan memiliki, memelihara dan menunggang gajah merupakan suatu “honourable profession” kepada raja-raja dan pembesar-pembesar Melayu pada waktu silam dan juga turut melambangkan status dan kewibawaan mereka dalam kalangan masyarakat6.

Berdasarkan perkongsiaan ini, kita dapat melihat bahawa betapa bernilainya ilmu keintelektualan orang Melayu pada waktu silam. Amalan konservasi haiwan yang giat dilakukan pada abad ke-21 ini bukanlah sesuatu yang asing pada orang Melayu pada masa silam kerana pada suatu ketika dahulu Orang Melayu sudah pun hidup bersama-sama dengan haiwan ini tanpa melibatkan konflik. Ia sekaligus menunjukkan adaptasi yang cukup tinggi antara orang Melayu dan alam semulajadi. Meskipun begitu, zaman silih berganti dengan kehadiran kolonial telah merubah landskap budaya orang Melayu. Hutan semakin banyak diteroka untuk tujuan pertanian dan pembangunan sehingga habitat gajah kian terancam dan menyebabkan mereka memasuki kawasan penempatan manusia untuk mendapatkan bekalan makanan. Gajah bukan lagi dianggap sebagai kawan tetapi sebagai haiwan perosak yang harus dimatikan kerana merosakkan harta benda, ia sekaligus menyebabkan khazanah ilmu-ilmu ini hilang ditelan zaman.

RUJUKAN
Mardiana Nordin, Peperangan Di Dalam Sulalatus Salatin, Universiti Malaya, Kuala Lumpur.
Nurul Izzati Md. 2015. Mustafa Adnan Jusoh, Khairi Arrifin, et.al. Penggunaan Tenaga Haiwan sebagai
Medium Pengangkutan dalam Masyarakat Melayu Tradisional. Internal Journal of the Malay World and
Civilsation (Iman) 3(2): 53-61,
Nurul Izzati Mustafa & Adnan Jusoh. 2018. Nashkah Mantra Gajah Dalam Sejarah Sosiobudaya
Masyarakat Melayu. Asian Journal of Environment, History and Heritage Vol. 2, Issue 2, p. 233-248
Nurul Izzati Md. Mustafa, Adnan Jusoh, Khairi Arrifin, et.al. Hubungan Gajah Dengan Orang Melayu (Di
Semenanjung Tanah Melayu): Tumpuan Terhadap Aspek Sosial Dlm 23th Conference of The International
Association of Historians of Asia 2014 (TAHA 2014), TH Hotel & Convention Centre, Alor Setar, Kedah,
Malaysia, 23-27 Ogos 2014.
Nurul Izzati Md. Mustafa, Adnan Jusoh, Khairi Arrifin, et.al, Fungsi ‘Gajah’ Dalam Kesultanan Melaka Dan
Aceh: Satu Persamaan Budaya Dlm Zuliskandar Ramli, et.al (edtr.), Arkeologi, Sejarah dan Budaya,
Prosiding Seminar Ke-3 Arkeologi, Sejarah dan Budaya di Alam Melayu, Bilik Senat & Bilik Majlis,
Universiti Kebangsaan Malaysia , Bangi, 23-24 Disember 2014.
Zahari A. Rashid. 2008. Kenang-Kenangan Abdullah Munsyi. Ibs Buku Sdn.Bhd. Kuala Lumpur.

Oleh Musalmah Muchlis
Pegawai Pusat Tuisyen Ummah (PROTU)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Fill out this field
Fill out this field
Please enter a valid email address.
You need to agree with the terms to proceed

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Menu