Gambar hiasan

Hubungan Daulah Uthmaniyyah dan Tanah Melayu

Hubungan yang erat diantara Daulah Uthmaniyyah dan Tanah Melayu sudah lama terwujud namun, penulisan tentang hubungan ini masih kurang dan perlu diberi lebih pendedahan lagi.

Kita dimogokkan dengan bangsa Melayu sebagai bangsa yang lemah dan mudah ditindas. Semasa Melaka diserang Portugis, Melaka dilabelkan sebagai tewas dan lemah dari segi kepimpinan dan persenjataan. Pertahanan Kota Melaka dengan penggunaan lembing dan keris dibandingkan dengan penggunaan meriam dan senapang oleh Portugis bagi mengalahkan Kota Melaka masa itu.

Sebelum mengutarakan hujah bangsa Melayu itu lemah dan mudah ditindas, sebaiknya marilah kita melihat kepada peranan yang telah dimainkan oleh Kota Melaka pada waktu itu.

Kota Melaka dan pembagunan penempatan merupakan hasilan daripada binaan batu dan bukannya kayu. Disini telah menunjukkan kewujudan sebuah kemajuan. Kota Melaka juga terkenal sebagai pusat tumpuan perdagangan yang maju. Bahasa Melayu menjadi bahasa utama atau lingua franca. Kedua-dua aspek ini turut menyumbang kepada bukti kemajuan Kota Melaka yang sudah lama terkehadapan.

Sesebuah kemajuan itu mestilah diikuti oleh sistem pertahanan yang mantap bagi mengelakkan pelbagai jenis gangguan lebih-lebih lagi Melaka terkenal sebagai sebuah pusat tumpuan para pedagang dari serata dunia.

Oleh itu, tidak masuk akal jika ada yang mengatakan bahawa Kota Melaka itu lemah dan mudah ditindas sedangkan Melaka sudah pun mempunyai sistem pentadbiran, ketenteraan dan undang-undangnya sendiri. Kemajuan tersebut dicapai melalui hubungan diplomasi Kerajaan Melaka dengan kerajaan-kerajaan yang lain antaranya adalah Daulah Uthmaniyyah.

Bukti jalinan hubungan masyarakat Melayu dan Daulah Uthmaniyyah

Menurut Anthony Reid terdapat bukti-bukti yang menunjukkan bahawa masyarakat Melayu telah menjalinkan hubungan dengan Daulah Uthmaniyyah. Ia berlaku sejak abad ke 16 lagi. Hubungan ini memberikan kesan yang mendalam terhadap masyarakat Melayu. Daulah Uthmaniyyah pernah menjadi penaung bagi Tanah Melayu yang berada di Asia Tenggara dan menjalinkan hubungan diplomatik yang kukuh serta menjalinkan kerjasama dalam pelbagai bidang seperti pendidikan, pertahanan, pentadbiran dan lain-lain lagi.

Hubungan Daulah Uthmaniyyah dengan Tanah Melayu dapat dikesan kerana adanya penulisan para ulama. Dari sini kita mengetahui bahawa penulisan para ulama tidak terbatas dengan perkara-perkara keagamaan sahaja.  Antara ulama yang menuntut ilmu ke Daulah Uthmaniyyah ialah  Syeikh Muhammad Yusuf Makasar yang berasal dari Makasar dan pergi ke Daulah Uthmaniyyah untuk menuntuk ilmu disana.

Daulah Uthmaniyyah dan Aceh

Kerajaaan Daulah Uthmaniyyah pernah mengadakan hubungan yang rapat dengan kerajaan Aceh sehinggakan Daulah Uthmaniyyah menjadikan Aceh sebagai wakilnya di Asia Tenggara.

Terdapat persamaan antara lambang bulan sabit dan bintang pada bendera Daulah Uthmaniyyah dan Acheh. Lambang ini menunjukkan terdapat hubungan yang rapat antara kedua-dua kerajaan ini. Hubungan ini dipereratkan lagi dengan pertukaran hadiah misalnya penghantaran rempah ratus dan emas daripada Acheh kepada Daulah Uthmaniyyah. Wakil Acheh yang dihantar ke Daulah Uthmaniyyah turut menjadi faktor hubungan yang baik dua kerajaan ini.

Semasa Aceh diserang Portugis, Daulah Uthmaniyyah menghantar bantuan 500 orang tentera termasuk tukang senjata, penembak meriam dan jurutera kepada Aceh.

Tempoh peperangan yang terlalu lama, kelemahan pentadbiran Daulah Uthmaniyyah itu sendiri, dan serangan pihak pemberontak menyebabkan terhentinya bantuan Daulah Uthmaniyyah kepada Acheh.

Kegagalan menghantar bantuan ke Sumatera menyebabkan Aceh mengalami kekalahan dalam melawan Portugis di Melaka. Keadaan ini menyebabkan sistem politik Aceh semakin lemah. Akibatnya, keadaan ini turut merenggangkan hubungan antara Aceh dan Daulah Uthmaniyyah. Seterusnya, kekuasaan Daulah Uthmaniyyah semakin merosot dan menjadi faktor kejatuhan empayar ini.

Daulah Uthmaniyyah dan Johor

Selain itu, ketika hubungan Daulah Uthmaniyyah dengan Johor dengan lawatan Sultan Abu Bakar ke Istanbul pada tahun 1879, Sultan Abdul Hamid II mengurniakan seorang wanita Turki yang berbangsa Circassia (salah satu wilayah Rusia sekarang) kepada Sultan Abu Bakar yang bernama Rugayyah Hanum.

Rugayyah Hanum berkahwin dengan adinda Sultan Abu Bakar iaitu Tengku Abdul Majid dan dikurniakan 2 orang anak. Sultan Abu Bakar sekali lagi melakukan kunjungan ke Istanbul sekali lagi pada tahun 1893 bagi melakukan hubungan  diplomatik yang lebih erat dan dikurniakan bintang kebesaran Uthmanli Darjah Pertama oleh Sultan Abdul Hamid II. (Adil.  1971) pengurniaan bintang kebesaran yang diberikan oleh Sultan Abdul Hamid kepada Sultan Abu Bakar menjadi saksi dan bukti hubungan erat diantara keduanya (Abdul Jalil Borham, 2002)

Hubungan Daulah Uthamaniyyah dengan Tanah Melayu boleh dikatakan unik kerana kedua kerajaan ini mempunyai semangat ukhwah Islamiyah yang tinggi dan Daulah Uthmaniyyah memberi pengaruh yang besar kepada Tanah Melayu dari segi pentadbiran, keaagamaan, ketenteraan, seni bina dan banyak lagi.

Hubungan yang baik diantara kedua-duanya memberikan kesan yang amat positif dalam menetapkan undang-undang islam di negeri Johor seperti Undang-Undang Tubuh Johor. Selain melicinkan pentadbiran negeri Johor yang dipengaruhi oleh Daulah Uthmaniyyah, kesan hubungan baik ini juga melahirkan banyak tokoh-tokoh ilmuan Johor seperti Raja Ali Haji dan Raja Kelana.

Ditulis oleh Mohamad Syafiq bin Doromae yang merupakan Pelajar latihan Industri Pusat Kecemerlangan Pendidikan Ummah (PACU)

Rujukan

 Ermy Azziaty Rozali. 2016. Turki Uthmaniah Persepsi dan Pengaruh Dalam Masyarkat Melayu, Kuala Lumpur, Dewan Bahasa dan Pustaka

Abdul Jalil Borham. 2002. Latar Belakang Pelaksanaan  dan Komentar dalam: Majalah Ahkam Johor. Skudai. Peenerbit Universiti Teknologi Malaysia.

Anthony Reid, 1969 Sixteenth Century Turkish Influence in Western Indonesia dalam Journal of Southest Asia History. Jil. 10, no. 3

Haji Buyong Adil.  1971. Sejarah Johor. Kuala Lumpur. Dewan Bahasa dan Pustaka.

 Kalthum Ibrahim, Farid Mat Zain, Nasruddin Yunos, Ezad Azraai Jamsari. edtr. 2009.Dunia Melayu dan Islam. Bangi. Institut Alam dan Tamadun Melayu

Abd Jalil, Borham (2011) Pengaruh Khilafah Othmaniyyah Turki Dalam Pentadbiran Kerajaan Johor Bagi Memartabatkan Sebuah Negara Islam Merdeka Di Asia Tenggara. dalam: Simposium Isu-Isu Sejarah dan Tamadun Islam (SISTI 2011) Peringkat Kebangsaaan, 8-10 April 2011, Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Fill out this field
Fill out this field
Please enter a valid email address.
You need to agree with the terms to proceed

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Menu