Home Darul Insyirah #KitaSerumpunNusantara merupakan tanda pagar dan tema utama misi mereka berenam pada kali ini.

#KitaSerumpunNusantara merupakan tanda pagar dan tema utama misi mereka berenam pada kali ini.

by adminpacu

#KitaSerumpunNusantara merupakan tanda pagar dan tema utama misi mereka berenam pada kali ini.

30 ekor lembu hasil sumbangan rakyat Malaysia telah berjaya dikorbankan di sana dan telah berjaya diagihkan kepada kira-kira lebih 1900 buah keluarga menerusi 6 buah kampung yang terletak di wilayah yang berbeza termasuklah di wilayah Tbung Khmom dan Stung Treng.

Mengapa membawa anak muda?

Selaras dengan penurunan had mengundi oleh pihak kerajaan kepada 18 tahun, maka Darul Insyirah dan PACU melihat anak muda tidak boleh selamanya hidup dengan gajet dan permainan video, tetapi mereka perlu disediakan platform pelatihan untuk pembentukan jatidiri mereka.

Mereka mendapat peluang dan pengalaman mahal ketika berada selama 6 hari 5 malam di sana. Apa yang mereka dapat?

Berpeluang menyembelih lembu dengan tangan sendiri antara peluang yang sangat sukar dirasai di tanah air Malaysia ini.

“Alhamdulillah, saya telah menyembelih 17 ekor lembu di sini, semoga amalan rakyat Malaysia yang berkorban ini diterima Allah SWT”, kata Ahmad Muntasir selepas selesai menyembelih di sana.

Selain menyembelih, mereka turut merasai pengalaman melapah, berjalan dari rumah ke rumah di tengah terik mentari mengagihkan daging korban dan mengedarkan coklat kepada anak-anak kecil yang berkeliaran ada yang tanpa selipar sekalipun.
Ini cukup besar nilainya membentuk diri mereka untuk melihat kesusahan dengan memberi sinar kegembiraan kepada orang lain.

Ada kampung yang masing-masing keluarga hanya mendapat 400g daging sahaja, tetapi mereka sangat menghargainya jauh lebih besar daripada kita di sini. Ini kerana nikmat merasai daging sangat jarang untuk mereka dapat.

Anak muda ini juga berpeluang berkongsi tips menghafaz al-Quran dan nasihat pembakar semangat kepada pelajar-pelajar di sana, ketika menziarahi Madrasah An-Nikmah Al-Islamiyah dan Darul Husna.

Muntasir dan Mustaqim merupakan hafiz al-Quran 30 juzuk manakala Muqawwim sedang menghabiskan hafazan yang kini telah selesai 17 juzuk.

Pengalaman bercakap di hadapan masyarakat yang adanya ‘language-barrier’ dan di peringkat antarabangsa bukan suatu yang mudah diakses dalam negara, tapi ianya diberikan kali ini untuk latihan kepimpinan kepada mereka.

Lagi dahsyat, sepanjang pengembaraan ini, mereka dapat melihat dengan mata mereka sendiri sekolah-sekolah yang ada di sana.

Hanya berbekalkan papan kayu sebagai papan putih, beratapkan atap yang bocor, berkurung di dalam ruang yang tiada kipas tiada lampu, tetapi anak-anak di sana tetap bersungguh untuk belajar.

Suatu tamparan hebat untuk anak muda Malaysia belajar jauh lebih hebat apatah lagi untuk menghafaz al-Quran, dengan fasiliti sekolah yang serba lengkap.

Hilangnya tamadun Melayu Nusantara

Suatu nilai yang menyentuh hati para peserta kali ini apabila melihat sebuah negara yang hancur tamadun Melayunya tapi kekal identitinya.

Kerajaan Melayu Champa yang menaungi sehingga ke Vietnam, hari ini hilang ruang sejarah itu.

DNA besar yang membuktikan Melayu pernah sampai di sana ialah bahasa. Bahasa Melayu Champa jelas wujud di sana termasuklah digunakan dalam khutbah hari raya.

Namun, apa yang sedihnya ialah ianya hanya boleh digunakan dalam percakapan kampung sesama kawan tetapi tidak lagi digunakan secara rasmi. Bahasa Khmer telah mengambil alih.

Pakaian hari raya mereka di sana juga menggunakan baju Melayu seperti kita di Malaysia. Bahkan, wujudnya penggunaan tulisan jawi di dinding-dinding masjid termasuklah untuk tujuan jadual imam.

Istimewanya misi kali ini, anak muda Malaysia ini berpeluang menziarahi 2 orang tokoh hebat Kemboja iaitu, Imam Rafaie, orang yang bertanggungjawab membuka perkampungan baru Kg Roka Popram sekitar tahun 1980-an dan Ust Hj Ibrahim, ustaz yang belajar di Universiti Al-Azhar dan sempat hidup di zaman kekejaman kerajaan Pol Pot tapi berjaya ‘survive’ sehingga hari ini.

Sejarah ini bukan untuk dilihat, tapi untuk dihayati.

Hasrat pasca misi

Dititipkan beberapa hasrat untuk sekalian pembaca dan seluruh rakyat Malaysia;

  1. Anak muda perlu berjiwa besar, lasak, melihat dunia secara global, kembalikan semula kegemilangan tamadun Melayu dan Islam dahulukala, bukan hanya sibuk dengan diri sendiri dan alam maya.
  2. Sejarah perlu dihayati dan negara Malaysia ini perlu lahirkan semula tokoh-tokoh ulung pejuang tanah air dahulu seperti Tok Janggut, Mat Kilau dan lain-lain.
  3. Kerajaan perlu perkenalkan modul sejarah interaktif dan turun lapangan supaya pelajar dapat melihat secara depan tinggalan-tinggalan hebat tamadun Melayu.
  4. Kesusahan tidak menghalang kesungguhan. Mereka di sana tetap bersungguh-sungguh belajar, tetap datang masjid berjemaah, walau terpaksa merentas jauhnya kilometer dan kurangnya fasiliti.

Ustaz Muhammad Hanafi Md Muinudin
Ketua Eksekutif PACU

You may also like

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

X