Penjagaan emosi dalam kalangan warga emas

Gambar Hiasan : bonda Darul Insyirah Aishah

Warga emas merupakan golongan yang perlu diberi perhatian dan penjagaan yang rapi. Pengabaian warga emas adalah satu tindakan yang amat dibantah dan tidak sewajarnya berlaku terutamanya di negara kita.

Penindasan dan pengabaian warga emas sering terjadi apabila tugas seorang anak yang sepatutnya menjaga dan memberikan khidmat setia kepada kedua ibu bapa tidak dijalankan. Perubahan gaya hidup dan bebanan tugas yang banyak adalah menjadi salah satu punca dimana anak-anak tidak dapat memberikan sepenuh perhatian mereka kepada ibu bapa hingga menyebabkan ibubapa yang telah meningkat usia terabai.Apabila berlakunya pengabaian warga emas ini,maka ia sedikit sebanyak telah menyumbang kepada faktor gangguan emosi dan tekanan mental kepada diri warga emas itu sendiri.

Antara penyakit yang terjadi akibat dari berlakunya gangguan emosi dan tekanan mental warga emas ini adalah seperti nyanyuk, meracau, kemurungan dan alzheimer’s. Kajian menunjukkan bahawa pesakit yang menghidapi penyakit seperti ini kebanyakannya terdiri daripada golongan warga emas atau dari kalangan mereka yang berusia 45 sehingga 64 tahun [ 1 ].

Penyakit – penyakit ini jika dibiarkan maka ia akan mengundangkan mudharat yang lebih besar sehingga mereka yang menghidapinya cenderung untuk melakukan perkara-perkara yang mengancam keselamatan dan nyawa mereka serta orang disekeliling mereka. Maka, sebagai seorang anak, kita perlu memberikan perhatian jika didapati tanda tanda penyakit ini mula terdapat pada ibubapa.

Pelbagai teknik dan pencegahan awal yang boleh diambil bagi mengelakkan ibubapa kita terdedah dengan penyakit seperti ini. Antaranya, kita perlu bijak dalam berkomunikasi dengan golongan warga emas [ 2 ] . Menunjukkan penghormatan dan menggunakan intonasi yang betul dan lembut serta raut wajah yang ceria dapat membuatkan warga emas merasa nyaman dan selesa untuk berinteraksi dan berkomunikasi dengan kita. Komunikasi yang berkesan dapat mengurangkan tekanan yang berlaku dalam diri mereka.

Selain itu, persekitaran yang ceria dan tidak merunsingkan juga mampu mempengaruhi emosi warga emas. Pastikan persekitaran harian mereka dalam keadaan yang baik dan selesa.

Antara yang lain, kita juga perlu mengkhususkan waktu yang berkualiti bagi meluangkan masa bersama dengan mereka setiap hari sekurang-kurangnya setengah jam. Pendekatan ini dapat mampu melahirkan perasaan kedekatan kita kepada mereka.

Disamping itu, senaman ringan serta pemakanan yang sihat dan pengambilan ubat-ubatan mereka juga perlu dijaga dengan baik. Kekurangan pengambilan makanan yang seimbang dan tubuh badan yang lemah juga menyebabkan perkembangan mental dan emosi seseorang itu boleh terganggu. Jadual pengambilan ubat-ubatan yang tidak teratur juga dapat mengundang bahaya kepada mereka.

Seterusnya, antara perkara penting yang perlu dijaga dan diberikan perhatian ialah dari aspek rohani mereka. Pastikan ibadah wajib seperti solat khususnya terjaga. Perbanyakkan memberi pengisian seperti nasihat, tazkirah serta perkongsian agama bersama mereka. Galakkan mereka melazimi zikir,selawat dan mengisi kekosongan masa mereka dengan ibadah-ibadah sunat seperti membaca al-quran dan sebagainya. Aktiviti aktiviti spritiual yang membina rohani ini adalah faktor terbesar dalam memastikan emosi dan mental warga emas ini sentiasa pada tahap  keadaan yang baik dan sihat. Semakin dekat mereka mengingati Allah,maka hati dan jiwa mereka akan semakin tenteram dan nyaman. Selari dengan firman Allah swt:


الَّذِینَ آمَنُواْ وَتَطْمَئِنُّ قُلُوبُهُم بِذِآْرِ اللّهِ أَلاَ بِذِآْرِ اللّهِ تَطْمَئِنُّ الْقُلُوبُ
“Hanya dengan mengingati Allah sahaja hati-hati menjadi tenang tenteram.” (Surah Al-Ra’du: Ayat 28)

Jika aspek aspek ini diberikan penekanan dan dipantau dengan baik, maka pencegahan terhadap berlakunya tekanan emosi dan gangguan mental dikalangan warga emas dapat dielak.

Seperti yang kita maklum,warga emas memerlukan teman untuk meluahkan perasaan dan berkongsi cerita, mereka juga sudah tidak mampu menguruskan diri mereka dengan sempurna atas faktor kesihatan dan tubuh badan yang semakin lemah. Maka kita perlulah menjalankan tanggungjawab kita sebagai seorang anak dengan sebaik yang mungkin. Mereka telah menghabiskan separuh dari usia mereka sepenuhnya untuk membesarkan kita, maka di usia mereka yang kian meningkat inilah masa yang tepat untuk kita membalas segala keringat mereka.

Hargailah mereka selagimana kita masih diberikan kesempatan.Gunakan sisa baki usia mereka ini dengan sebaiknya. Hadiahkan kebahgiaan yang terindah buat mereka.

Artikel ini ditulis oleh Pelajar Parktikal PACU  Najwatul Syuhada binti Basri

RUJUKAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Fill out this field
Fill out this field
Please enter a valid email address.
You need to agree with the terms to proceed

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Menu