Home PACU Orang melayu sudah lama berperang menggunakan meriam

Orang melayu sudah lama berperang menggunakan meriam

by adminpacu

Orang melayu sudah lama berperang menggunakan meriam

Ramai yang menganggap bahawa pada waktu dahulu orang Melayu berperang hanya dengan berkelengkapan keris atau tombak. Namun begitu, jika digali dengan lebih mendalam fakta sejarah, kita akan mengetahui bahawa teknologi meriam merupakan teknologi senjata api yang tidak asing dalam armada ketenteraan masyarakat Melayu. Hal ini boleh dilihat melalui penceritaan di dalam hikayat Melayu, catatan orang asing serta bukti-bukti arkeologi. Antara jenis-jenis meriam yang masyhur dalam tradisi masyarakat Melayu adalah seperti meriam besi, lela, rentaka dan ekor lontong.

Ketika Portugis menawan Melaka pada 1511, mereka telah menjumpai jumlah meriam dan senjata api yang cukup banyak. Catatan De Barros menyatakan bahawa tentera pimpinan Alburqueque telah menjumpai sejumlah 3000 pucuk daripada 8000 pucuk senjata yang dikhabarkan terdapat di Kota Melaka. Bukti kegunaan meriam oleh Melaka untuk membedil kapal Portugis boleh dilihat dalam gambaran yang dijelaskan oleh De Barros iaitu ‘as soon as the junk had passed the sand-banks and had come to an anchor, a short way from the bridge, the Moorish artillery opened a fire on her. Some guns discharged leaden balls at intervals which passed through both sides on the vessel, doing much execution among the crew.’

Hal ini membuktikan bahawa orang Melaka telah menggunakan meriam ketika pertempuran di Kota Melaka. Nama-nama meriam yang digunakan di Melaka digelarkan sebagai Bedil iaitu meriam yang besar manakala meriam yang lebih kecil digelarkan sebagai rentaka atau lela (Crawfurd, 1856).  

Bukti betapa besarnya impak meriam ini dalam peperangan di kota Melaka turut dinukilkan oleh seorang bangsa Itali yang menyertai Portugis dalam serangan ke atas Melaka dengan menyatakan bahawa Melaka menggunakan meriam-meriam besar yang menyebabkan ramai tentera Portugis yang mati.

Senjata api buatan orang Melayu digambarkan sebagai setanding dengan buatan orang Jerman yang dikatakan memiliki kepakaran terulung dalam membuat senjata api. Orang Melayu juga digambarkan memiliki ‘gun carriages’ iaitu sebuah alat sokongan untuk meriam yang tiada tandingan dari segi pembuatannya termasuklah buatan Portugis sendiri. Sungguhpun Melaka tewas dalam peperangan tersebut, askar-askar Melayu Melaka digambarkan sebagai ‘Most valiant men, well trained in war, and copiously supplied with every type of very good weapon’(Tarling, 1992)

Orang Aceh juga telah dicatatkan sebagai masyarakat yang mempunyai kebolehan untuk mencipta teknologi meriam. Kebolehan ini dipelajari oleh masyarakat Aceh daripada bangsa Turki melalui hubungan dua hala antara kedua-dua negara. Meriam di Aceh sebagaimana yang digambarkan memiliki saiz yang besar sehingga mengkagumkan Portugis, ada antara meriam buatan Aceh yang telah dihadiahkan kepada Raja Sepanyol.

Menurut Marsden, pada 1568 Masihi, Sultan Mansyur Shah telah mengepung Melaka yang pada ketika itu dikuasai Portugis dengan kelengkapan 200 pucuk meriam.

Pada awal abad ke 17, Sultan Iskandar Muda memiliki sebuah angkatan perang yang solid terdiri 40,000 askar dan 2000 buah meriam (Reid, 2011). Ada antaranya adalah sebanyak 1200 meriam yang diperbuat daripada gangsa yang memiliki peluru yang sederhana, dan 800 buah senjata api lain yang terdiri daripada ‘swivel-guns’ dan arbuquebuses (Tarling, 1992). Angkatan perang ini telah digunakan untuk menyerang Melaka pada 1629. Oleh sebab kehebatannya, orang-orang Portugis menggelarkan angkatan perang ini sebagai Espanto Del Mundo (penggegar dunia) (Halimi, 2006).  

Pada 1725 hingga 1736 kerajaan Aceh dinyatakan sudah memiliki kilang membuat meriam sendiri di Aru Pulau Kampai (Meuraxa, 1975).

Di Selatan Sulawesi, masyarakat Makkasar dan Bugis dinyatakan memiliki kebolehan untuk mencipta teknologi meriam. Seorang rakyat Perancis yang melawat dan memerhati keadaan di Makkasar pada awal abad ketujuh belas menyatakan bahawa meriam di Makassar adalah begitu besar sehinggakan ia boleh memuatkan seorang lelaki di dalam dan tidak dilihat. Sungguhpun tiada sumber  yang jelas memperihalkan asal-usul pembuatan teknologi meriam ini, sumber tempatan menyatakan bahawa orang-orang Makassar sudah mula menghasilkan senjata api pada lewat abad ke 16 dan 17 (Tarling, 1992).

Thomas Forrest juga telah mengesahkan bahawa masyarakat Bugis mempunyai kebolehan untuk mencipta senjata api antaranya adalah rentaka yang mempunyai panjang enam kaki dan memiliki peluru tembakan sebesar 0.5 pound (Knaap & Sutherland, 2004).

Terdapat banyak pendapat mengenai bilakah meriam telah dicipta di Patani. Namun, Hikayat Patani menyatakan bahawa meriam Patani telah dicipta sejak awal abad ke-16 iaitu ketika pemerintahan Sultan Ismail Syah (Pya Tu Naqpa) (Yusoff Hashim, 1992).

Pada tahun 1603, dicatatkan bahawa kerajaan dan rakyat Patani telah melawan kerajaan Siam-Thai yang mendarat di Patani untuk menguasainya. Mereka telah menggunakan meriam untuk membedil tentera-tentera Siam sehingga kekuatan tentera Siam menjadi lemah dan mereka terpaksa pulang dengan menanggung kerugian yang besar. Raja Siam-Thai yang berada di Ayuthia begitu kagum dengan meriam yang digunakan oleh Patani sehingga mengalahkan tentera Siam. Beberapa tahun kemudian, Kerajaan Siam telah menghantar utusan ke Patani untuk membeli meriam tersebut kerana pada masa itu senjata tersebut telah diperdagangkan secara meluas dan menjadi suatu alat perdagangan yang masyur sehingga Raja Jepun juga telah menghantar utusan ke kerajaan Siam untuk membeli meriam yang diperbuat dari Patani. (Syukri, 2002)

Masyarakat Melayu di Kepulauan Filipina juga turut mempunyai catatan mengenai penggunaan teknologi meriam. Orang Iranun mempunyai kemahiran untuk mencipta meriam-meriam yang diberi gelaran sebagai “meriam setebuk” atau “meriam Sultan Setebuk”. Kehadiran puak Iranun di peraraian Nusantara sangat digeruni oleh pihak Barat sehingga mereka digelar sebagai ‘Lord of Eastern Sea’. Antara tahun 1774 hingga 1789, orang Iranun bersama orang Balangingi telah melakukan beberapa siri serangan dengan menggunakan meriam ke atas kapal-kapal dagang Belanda dan Sepanyol di perairan Sulu, Luzon, Sulawesi, Laut China Selatan dan Selat Melaka. Dalam ekspedisi tersebut, Orang Iranun dan Balangingi dilaporkan telah menggunakan puluhan meriam dan 100 hingga 200 buah joanga dan gray. Melalui ekspedisi tersebut, mereka telah membuka beberapa buah pengkalan di Teluk Malludo (Marudu), Tempasuk (Tampasook), dan Pandasan (Pandassaan) (Ali & Moksan, 2016).

Bukti kajian juga menunjukkan  bahawasanya Tanah Melayu sememangnya pernah menjadi pusat pembuatan meriam sebagaimana wilayah-wilayah lain di Nusantara. Selain Jawa, Brunei, Minangkabau dan Aceh. Negeri-negeri di Tanah Melayu seperti Johor, Terengganu dan Pahang juga dikenali sebagai pembuat meriam yang bermutu tinggi. Dalam kajian arkeologi yang dilakukan oleh Linehan W. di tebing Sungai Tembeling Pahang, beliau telah menjumpai acuan-acuan purba yang digunakan untuk membuat meriam yang dianggarkan wujud sekitar kurun ke-13 dan kurun-14 (Linehan. W, 1951). Pada tahun 1600 Masihi, Pahang dikatakan sebagai pengeluaran meriam yang terbaik (Linehan. W, 1936).

Perkongsiaan ini sedikit sebanyak dapat membuka mata semua bahawa bangsa Melayu bukanlah  bangsa yang mundur dari segi penggunaan teknologi senjata api atau tidak memiliki kepakaran dalam mencipta teknologi seperti meriam. Masakan sebuah kerajaan yang kuat, kaya dan menjadi pelabuhan entreport dunia seperti Melaka tidak melengkapkan kerajaannya dengan teknologi senjata api untuk menghadapi musuh. Sungguh apa yang digambarkan sebagai armada tentera Melayu yang tidak tahu untuk menggunakan teknologi senjata api hanyalah gambaran untuk merendahkan keagungan bangsa kita. Meriam ciptaan orang Melayu telah diakui kehebatannya oleh bangsa penjajah. Justeru, kita seharusnya berasa bangga dengan kehebatan bangsa Melayu dan mengambil ikhtibar untuk berusaha bersaing dengan bangsa lain dari segi penciptaan teknologi. Orang Melayu pada waktu dulu belajar mengenai meriam dari bangsa lain seperti Turki dan menghasilkan meriam buatan mereka sendiri. Walaubagaimanapun, kita pada hari ini hanya tahu menggunakan teknologi luar dan tidak pandai menghasilkannya.

BUKU

Ahmad Jelani Halimi. 2006. Perdagangan dan Perkapalan Melayu di Selat Melaka Abad ke-15

Hingga ke-18. Dewan Bahasa dan Pustaka. Kuala Lumpur.

Anthony Reid. 2011. Menuju Sejarah Sumatera Antara Indonesia dan Dunia. Yayasan Pustaka Obor Indonesia; KITLV-Jakarta. Jakarta.

Dada Meuraxa. 1975. Sejarah Kebudayaan Sumatera. Medan. Firma Hasmar

Gerrit Knaap & Heather A Sutherland. 2004. Monsoon Traders: Ships, Skippers And Commodities in Eighteenth Century Makkasar (Verhandelingen). Brill Academic Pub; First Edition edition. Netherlands

John Crawfurd. 1856. A Descriptive Dictionary of The Indian Islands & Adjacent Countries. London. Bradbury & Evans 11. Bouverie Streets. London.

Muhammad Yusoff Hashim. 1992. Pensejarahan Melayu Kajian Tentang Tradisi Sejarah Melayu Nusantara. Dewan Bahasa Dan Pustaka. Kuala Lumpur.

Nicholas Tarling. 1992. The Cambridge History of Southeast Asia, Volume One From Early Times to c. 1800. Cambridge University Press. Australia

JURNAL

Ibrahim Syukri. 2002. Sejarah Kerajaan Melayu Patani, Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia. Bangi

Ismail Ali & Jamaluddin Moksan, Meriam Setebuk: Simbol Keagungan Sejarah Maritim Orang Iranun di Tempasuk, Sabah, SUSURGALUR: Jurnal Kajian Sejarah & Pendidikan Sejarah, 4(1) Mac 2016.

Linehan, W. 1951. Traces of A Bronze Age Culture Associated With Iron Age Implement In The Region of Kelang and Tembeling, Malaya dalam JMBRAS: Journal of Malay Branch Royal Asiatic Society, Vol. 24(3); 1-59

Linehan, W. 1936. A History of Pahang, JMBRAS: Journal of Malay Branch Royal Asiatic Society Jil 14(2)

Artikel ini ditulis oleh Pelajar Parktikal PACU dari Unit PROTU : Muhammad Hudar Rahman bin Mohd Rosdi

You may also like

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

X