Menyantuni Warga Tua: Insitusi Penjagaan Adakah Relevan?

oleh Muhammad Muqris Alif bin Zairiasdi

Pusat Jagaan dan Pendidikan Darul Insyirah (Ayahanda)

Menjelang tahun 2030, Malaysia dijangka akan menghadapi fenomena menua. Pada tahun 2020 sahaja, warga tua di Malaysia dijangka bakal mencecah kepada sebanyak 3.21 juta orang. Merujuk kepada statistik yang telah dikeluarkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat pada tahun 2018, bilangan penduduk yang berusia 60 tahun ke atas semakin meningkat dan kadar penduduk yang berusia di bawah 15 tahun pula semakin berkurang. Arus modenisasi banyak mengubah struktur keluarga di Malaysia sehingga perancangan masa hadapan bagi warga tua dilihat sebagai satu elemen yang penting dalam kehidupan masa kini.

USAHA KERAJAAN DAN NGO

          Melihat kepada usaha kerajaan, kerajaan, melalui pelbagai agensi, dan badan bukan kerajaan (NGO), telah menyediakan pelbagai kemudahan perkhidmatan dan infrastruktur untuk kesejahteraan warga tua. Ini termasuklah pusat jagaan warga emas sepenuh dan separuh masa, perkhidmatan rawatan percuma atau perkhidmatan gunting rambut secara percuma dan lain-lain.

Walaupun pelbagai usaha telah dilakukan oleh kerajaan mahupun NGO, acapkali di dada-dada akhbar kita disajikan dengan masalah-masalah yang timbul terhadap golongan ini seperti penderaan secara fizikal atau mental oleh anak muda khususnya anak mereka sendiri. Baru-baru ini, Malaysia dikejutkan dengan video yang tular di media sosial di mana, memaparkan seorang warga tua meluahkan perasaan setelah dihalau dan diabaikan oleh anak mereka sendiri.

          Respons daripada warga-warga internet banyak mengkritik tindakan anak mangsa yang dikira tidak mempunyai tanggungjawab dalam menjaga ibu bapa mereka. Maka, sebagai anak muda, apakah cara yang terbaik untuk kita lakukan dalam menyantuni golongan-golongan seperti ini? Ramai berpendapat bahawa institusi penjagaan warga emas merupakan satu tindakan yang bagus dan ramai anak muda menghantar ibu bapa mereka ke institusi tersebut kerana sibuk dengan urusan kerja. Tetapi, adakah itu pilihan yang paling tepat?

INSTITUSI PENJAGAAN WARGA EMAS ADAKAH RELEVAN?

          Kemasukan warga tua ke institusi penjagaan di Malaysia dilihat bertambah dari hari ke hari seperti cendawan tumbuh selepas hujan walaupun perkara ini bertentangan dengan norma-norma sosial dan amalan tradisi lebih-lebih lagi kepada orang Islam kerana Allah SWT telah berpesan supaya kita sebagai anak hendaklah menjaga ibu bapa kita. Itu merupakan tanggungjawab anak-anak apabila sudah besar kelak. Secara lumrahnya, apabila warga emas telah dihantar ke institusi ini, secara tidak langsung mereka telah terputus hubungan dengan komuniti asal mereka serta anak-anak juga waris. Malah, sokongan dari segi mental dari waris terdekat juga turut tiada.

          Tetapi, arus zaman sudah berbeza. Kini, rata-rata warga tua lebih gemar untuk berada di dalam pusat penjagaan untuk warga emas. Alasan yang lazim digunakan adalah untuk mendapatkan kehidupan yang lebih selesa dan tidak membebankan keluarga anak-anak mereka. Mereka juga beranggapan, dengan berada di dalam pusat penjagaan ini tidak bermakna mereka disingkirkan daripada keluarga tetapi menambah ahli keluarga.

Hal ini kerana, setiap warga tua yang ditempatkan di institusi penjagaan, mereka boleh bertemu dengan komuniti yang sebaya dengan mereka dan boleh menjalinkan hubungan persaudaraan. Oleh itu, tidak hairanlah apabila kita merujuk kepada statistik pada 2014 oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat iaitu terdapat seramai 1,850 orang warga emas di 11 institusi penjagaan kerajaan dan 4,968 orang warga emas di 186 buah institusi penjagaan di bawah Pertubuhan Bukan Kerajaan dan swasta di seluruh Malaysia. Peningkatan jumlah warga emas di pusat penjagaan semakin meningkat seiring dengan peningkatan tahun.

          Dalam mendepani tahun 2030 kelak, pusat-pusat penjagaan orang tua hendaklah mengambil langkah yang lebih progresif supaya mereka mampu menyediakan dan menjadikan institusi penjagaan warga tua yang ditawarkan atau dijalankan berada di tahap yang memuaskan dan bebas daripada segala bahaya yang boleh memudaratkan warga tua.

USAHA MENJADIKAN INSTITUSI PENJAGAAN WARGA EMAS MESRA PENGHUNI

Antaranya, Jabatan Kebajikan Masyarakat hendaklah memainkan peranan mereka dalam memastikan setiap rumah penjagaan di Malaysia dilengkapi dengan penggera keselamatan untuk memastikan keselamatan para penghuni. Hal ini kerana terdapat beberapa kes yang melibatkan di mana rumah warga emas dipecah masuk oleh insan yang tidak bertanggungjawab kerana untuk mendapatkan wang tabung institusi ini sehingga sanggup mencederakan warga tua.

          Seterusnya, bilangan staf yang mencukupi juga hendaklah diambil kira dalam memastikan pusat penjagaan berada dalam keadaan yang baik. Apabila kita merujuk kepada nisbah staf yang diperlukan dalam pusat penjagaan yang telah dikeluarkan oleh Asiah A.R, adalah sebanyak 3:1 atau 5:1 kepada penghuni yang memerlukan perhatian dan penjagaan rapi. Manakala untuk penghuni yang boleh berdikari tetapi tetap memerlukan bantuan penjagaan ialah 8:1 atau 10:1. Hal ini kerana, warga tua mempunyai peluang yang tinggi untuk menghadapi penyakit-penyakit kronik seperti kencing manis, sakit jantung ataupun diabetes. Maka golongan seperti ini memerlukan permerhatian yang rapi dalam penjagaan mereka. Hal ini sama juga dengan golongan yang mengalami masalah rabun mata atau penglihatan semakin kabur. Oleh itu, perhubungan antara pusat penjagaan warga emas dengan pihak hospital juga amatlah penting supaya kesihatan mereka dijaga dan dipantau oleh orang yang betul-betul berpengalaman dalam bidang kesihatan supaya tiada permasalahan yang timbul.

          Fasiliti yang ada di pusat penjagaan juga hendaklah diambil kira dalam memastikan pusat penjagaan itu mesra penguni. Pusat penjagaan tersebut hendaklah mudah diakses oleh warga-warga tua ini kerana tidak semua daripada mereka mampu berjalan dengan sempurna. Maka, kepentingan kepada fasiliti yang memudahkan pergerakan mereka amatlah perlu dititikberatkan.

          Kesimpulannya, institusi penjagaan warga tua merupakan satu perkara yang baik untuk diteruskan dalam mendepani negara 2030 kerana menjelang pada tahun 2030, dijangka bilangan warga emas berusia 60 tahun ke atas bertambah daripada 1.4 juta kepada 4.9 juta. Hal ini membimbangkan dan memberikan satu cabaran kepada umum kerana pasti banyaklah berita mengenai pengabaian warga tua oleh anak-anak kalau terus dipandang enteng. Maka, institusi penjagaan merupakan pilihan yang boleh dikatakan satu pilihan yang baik untuk diambil oleh anak-anak supaya pengabaian warga tua boleh dikurangkan dan sekaligus jenayah yang melibatkan warga tua juga dapat dikurangkan. Oleh itu, pusat penjagaan yang sedia ada hendaklah bekerja keras supaya pusat penjagaan tersebut mesra penghuni dan jangan sudah terhantuk baru terngadah dan hendaklah menanam prinsip sediakan payung sebelum hujan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Fill out this field
Fill out this field
Please enter a valid email address.
You need to agree with the terms to proceed

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Menu