Home Uncategorized Jenis-jenis plastik dan kesannya

Jenis-jenis plastik dan kesannya

by adminpacu

Jenis-jenis plastik dan kesannya

Menurut Akta Kualiti Alam Sekeliling (1974), alam sekitar memberi maksud “unsur-unsur fizikal yang berada di sekeliling manusia seperti tanah, air, udara, iklim, tumbuhan, haiwan serta unsur-unsur biologi dan sosial yang saling bergantung antara satu sama lain” (Akta 127-Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, Bahagian 1, Seksyen 1 (Tafsiran). Menurut Serly (2014), plastik pula membawa maksud bahan pengemas atau material polimer yang sifatnya dapat dicetak menjadi apa-apa bentuk yang diinginkan dan boleh juga menjadi keras setelah dipanaskan atau pelarutnya diwapkan. Jika penggunaan plastik ini bertambah tanpa panduan dan kawalan undang-undang yang menyeluruh, tidak mustahil ia akan memberi kesan terhadap alam sekitar kita.

Oleh hal yang demikian, setiap pengguna wajib mengetahui jenis-jenis plastik yang sesuai dipakai sesuai dengan tujuan yang berbeza. Antara- antara jenis plastik yang wujud ialah PET — Polyethylene Terephthalate, HDPE — High-Density Polyethylene, V — Polyvinyl Chloride, LDPE — Low-Density Polyethylene, PP — Polypropylene, PS — Polystyrene dan lain-lain lagi. Berikut contoh jenis-jenis plastik beserta simbolnya;

Menurut beberapa artikel dan perkongsian penulis lain, plastik yang tidak digalakkan untuk digunakan berkali-kali adalah PET dan HDPE.  Menurut Karuniastut (n.d), hal ini kerana apabila sering dipakai terutamanya untuk menyimpan air panas, permukaan plastik PET misalnya akan cair dan mengeluarkan zat karsinogenik serta boleh menyebabkan kanser. HDPE pula akan juga mengeluarkan antimoni troksida terus-menerus dan boleh menganggu sistem pernafasan, meningkatkan masalah haid dan keguguran serta memungkinkan permasalahan pertumbuhan perlahan seorang anak sehingga umur 12 bulan.

Selain itu, jenis plastik PVC pula yang terdapat DEHA di dalam kandungannya boleh membawa kepada kebocoran, mewujudkan reaksi antara PVC dengan makanan yang berpotensi memberi bahaya kepada ginjal serta boleh menghasilkan racun apabila dibakar. Maka, plastik ini tidak digalakkan untuk digunakan bagi mengisi makanan. Tambahan lagi, jenis plastik seperti LDPE pula dikatakan kuat, mampu bertahan pada kadar suhu di bawah 600 darjah terhadap sebatian kimia dan sukar bertindak balas secara kimia dengan makanan dan minuman yang tersedia serta daya perlindungan terhadap wap air juga baik. Jadi, plastik ini kebiasaannya boleh digunakan untuk mengisi makanan.

Di samping itu, jenis plastik PP atau Polypropylene pula boleh digunakan untuk mengisi makanan dan minuman bahkan amat sesuai disebabkan kestabilannya dalam berdepan dengan suhu yang tinggi manakala PS atau Polystyrene pula merupakan polimer aromatik yang dapat mengeluarkan bahan styrene ke dalam makanan. Hal ini berbahaya disebabkan ancaman yang berkemungkinan berlaku terhadap kesihatan otak, mengakibatkan pertumbuhan dan kesan buruk kepada sistem saraf.

Sementelahan itu, sebuah jurnal Science Advances tahun 2017 ada mencatatkan jumlah keseluruhan plastik di seluruh dunia telah mencapai 8.3 bilion metrik tan dan 6.3 bilion daripadanya pula telah dibuang sebagai sisa. Penulis juga ada berkongsi tentang keadaan sebuah jalan yang berdekatan dengan kafe makanan laut di Phnom Penh Cambodia serta di kawasan pantai dan jalan di Bandar Sihanoukville, Cambodia yang dipenuhi dengan beg plastik, bekas minuman plastik yang kosong tersadai banyak di tepi jalan dan pantai sehinggakan membentuk gunung-gunung sampah beserta gumpalan plastik (WeForum, 2018). Tidak dapat kita nafikan, plastik adalah sesuatu yang boleh dikatakan berguna buat kita sehinggakan kita umpama hidup di dalam dunia plastik. Namun begitu, kita tidak boleh memandang enteng mudarat-mudarat yang boleh berlaku apabila berterusan menggunakan plastik terutamanya yang berpotensi memberi bahaya kepada penggunanya.

Oleh itu, berikut adalah cadangan tentang cara yang boleh diamalkan untuk menggunakan atau menggantikan terus penggunaan plastik.

  1. Memakai plastik jenis 1 dan 2 atau  PETE dan HDPE pada kadar sekali (1x) sahaja sebaik-baiknya
  2. Memilih plastik yang mempunyai simbol 4 dan 5 atau LDPE dengan PP untuk tujuan makanan dan minuman
  3. Belajar membawa beg kain dengan kerap setiap kali ingin membeli barang di pasaraya sehingga jadi suatu tabiat
  4. Menyimpan makanan dan minuman menggunakan bekas kaca atau keluli.
  5. Pihak pasaraya mengenakan caj yang lebih tinggi terhadap penggunaan plastik untuk tujuan pembungkusan
  6. Menggunakan plastik bio-degradable atau bahan dan objek yang boleh diuraikan oleh bakteria atau organisma hidup lain yang kadarnya dalam 3 bulan sahaja berbanding plastik konvensional yang memerlukan 100 tahun untuk terurai.

Jadilah pengguna plastik yang bijak, prihatin dan juga berpada-pada!

Sumber:

Oleh Nurul Afiqah Abd Kadir,
Sukarelawan PACU,
Bacelor Sains Politik, UIA.

You may also like

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

X