Home PACU Wacana Cendekiawan ATMA buka mata peserta

Wacana Cendekiawan ATMA buka mata peserta

by adminpacu

Wacana Cendekiawan ATMA buka mata peserta

Wakil PACU telah menghadiri Siri Wacana Cendekiawan ATMA “Sejarah Institusi Raja-Raja Melayu Di Nusantara: Antara Kuasa Dan Kedaulatan” yang diadakan di UKM pada 22 Julai lalu membawa perbincangan mengenai Institusi Raja-Raja dan Kedaulatan Melayu.

Prof. Emeritus Datuk Dr. Zainal Kling  sebagai penyandang Kursi Institusi Raja-Raja Melayu, UiTM membentangkan konsep kedaulatan atau “sovereignty” iaitu suatu “political concept” yang merujuk kepada kuasa teragung dalam sesebuah negara.

Dalam konteks tamadun Melayu, kedaulatan terletak di tangan Raja-Raja Melayu yang menjadi penguasa kepada rakyat. Menurut beliau, bukti terawal kewujudan kedaulatan tamadun Melayu adalah pada zaman kemunculan Sriwijaya. Hal ini adalah berdasarkan kepada penemuan arkeologi dan sumber primer yang kukuh. Kerajaan Sriwijaya merupakan akar kepada kewujudan institusi Raja-Raja dan tamadun Melayu.

Beliau tidak begitu memihak kepada pendapat yang menyatakan bahawa tamadun Melayu telah wujud lebih lama iaitu pada zaman kerajaan Funan atau Angkor atas alasan tiada bukti kukuh yang mengabsahkan kewujudan sebuah tamadun Melayu berbanding kerajaan Sriwijaya.

Sejak  zaman Kesultanan Melayu Melaka sehingga kini, para penjajah Portugis, Belanda dan British tidak pernah berjaya menguasai keseluruhan tanah air dan menjadi penguasa secara mutlak yang menghapuskan peranan Raja-Raja Melayu di setiap negeri.

Oleh itu, adalah tidak wajar menyatakan bahawa negara Malaysia itu terjajah kerana Kedaulatan Raja-Raja Melayu masih lagi termaktub pada zaman British. Tanah Melayu selain Negeri-Negeri Selat tidak dijajah sebaliknya hanya menjadi naungan kepada kerajaan British.

Dato’ Dr. Anwar Omar Din selaku penyandang Profesor Adjung ATMA pula menegaskan bahawa sejarah di tanah air tidak akan kemana-mana sekiranya isu mengenai keabsahan kedaulatan Raja-Raja Melayu masih menjadi topik perbincangan yang tidak selesai.

Bukti-bukti sejarah sudah jelas menunjukkan bahawa Kedaulatan Melayu itu sememangnya wujud dan begitu megah mencakupi pengaruh seantero Nusantara. Antara bukti kemegahannya ialah pembinaan Candi Borobodur yang dibina oleh Dinasti Sailendra yang merupakan sebuah kerajaan Melayu.

Tegasnya, Daulat Melayu tidak sama dengan istilah “Sovereignty” Barat kerana Daulat unsur-unsur magis yang hanya ada pada raja dan kekuasaan dan ia bukanlah terletak kepada nilai kekayaan seseorang yang bukan berdarah raja.

Tandatangan Raja-raja Melayu dalam Malayan Union merupakan sebuah peristiwa bersejarah yang menyatukan negeri-negeri Melayu di mana sebelum ini masing-masing wujud dalam identiti sendiri. Tambahnya lagi, sekiranya tiada Malayan Union maka tiadalah penyatuan negeri-negeri yang mewujudkan Malaysia.

Kapt (B) Abdul Rahmat Omar, Mantan Pegawai Penyiasat TUDM pula berkata kemerdekaan yang dicapai oleh Tanah Melayu adalah hasil daripada kewujudan sistem Raja-Raja Melayu itu sendiri.

Raja merupakan punca kuasa eksekutif. Peranan raja bukanlah terhad sekadar dalam hal adat istiadat Melayu dan orang Islam sahaja malah lebih lagi. Kedaulatan seseorang raja itu juga bukan hanya tertakluk kepada orang Melayu sahaja bahkan juga kepada kaum yang lain. Hal ini menunjukkan bahawa betapa besarnya kedaulatan seseorang raja itu.

Sambungnya lagi, British tidak menghapuskan institusi raja-raja tetapi sebaliknya kehadiran British telah membantu pentadbiran kerajaan Melayu untuk menjadi lebih efisien. 

Kedaulatan Raja-raja Melayu masih terpelihara sebagai bukti, Raja-raja Melayu mempunyai kuasa untuk mengampunkan penjenayah dalam negerinya. Malah kuasa raja juga merupakan penentu dalam rundingan kemerdekaan memandangkan rundingan ini seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu adalah antara Raja-Raja Melayu dan wakil British.

Salasilah keturunan raja-raja Melayu pula dibentangkan oleh Hj. Mohd Bokhari Abdullah. Menariknya apabila gambaran jelas berkenaan hubungan rapat antara kerajaan-kerajaan Melayu turut dibentangkan. Ternyata Raja-Raja kerajaan Melayu mempunyai pertalian persaudaraan berdasarkan susur galur keturunannya.

Salasilah awal raja-raja Melayu bermula daripada beberapa kerajaan terawal iaitu Medang Kamulan, Tambralingga, Langkasuka dan Pan-Pan. Sejarah Melayu dan Hikayat lama menceritakan bahawa keturunan Raja-raja Melayu ini dihubungkan melalui perkahwinan yang kemudiannya menghasilkan zuriat-zuriat yang bercambah di serata Nusantara membentuk kerajaan-kerajaan Melayu seperti Funan, Angkor, Sriwijaya, Samudera Pasai, Kelantan, Melaka dan sebagainya.

Pengajaran daripada salasilah ini menunjukkan bahawa orang Melayu tidak seharusnya berpecah dan memiliki sifat kenegeriaan yang tebal kerana hakikatnya sejarah membuktikan kita teah pun memiliki talian persaudaraan yang rapat antara suatu sama lain. Ternyata bangsa Melayu adalah sebuah keluarga bangsa yang sangat besar.

Siri wacana ini merupakan sebuah perkongsiaan yang sangat bermanfaat bagi memahami sejauh manakah besarnya Kedaulatan Raja-raja Melayu. Institusi Raja-raja merupakan sebuah institusi yang tidak boleh dipisahkan dengan masyarakat Melayu. Institusi inilah bermula kewujudan budaya dan ketamadunan Melayu di muka bumi. Institusi Raja-raja Melayu harus dipertahankan kerana institusi ini melambangkan identiti masyarakat Melayu itu sendiri.

Wacana ini telah membuka mata saya sebagai hadirin yang hadir. Sungguhpun fakta sejarah itu tidak boleh diubah, namun  setiap orang boleh memiliki kefahaman yang berbeza terhadap sesuatu peristiwa itu. Sebagai contoh, sungguhpun memiliki pendapat yang berbeza namun ahli-ahli panel dalam siri wacana ini bersetuju bahawa masyarakat Melayu di Malaysia tidak pernah dijajah atas alasan kedaulatan Raja-Raja Melayu yang masih kekal utuh.

Pendapat ini mungkin tidak dipersetujui oleh tokoh-tokoh ilmuan lain yang turut memiliki hujahan mereka yang tersendiri. Persoalannya, bagaimana untuk kita memutuskan kebenarannya?. Oleh itu, tidak mahu tidak setiap masyarakat Malaysia perlu sedar akan kepentingan ilmu sejarah dan berusaha untuk memahaminya. Melalui pemahaman sejarahlah masyarakat kita akan mengenali asal usul dam sebab sesuatu peristiwa itu berlaku. Paling penting dengan memahami sejara jugalah kebenaran dapat dirungkai meskipun pahit untuk ditelan agar ikhtibar dapat diambil supaya kesilapan-kesilapan lama tidak berulang lagi.

Ditulis oleh Muhammad Hudar Rahman bin Mohd Rosli  yang merupakan Pelajar Latihan Industri, Pusat Kecemerlangan Pendidikan Ummah (PACU)

You may also like

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

X