Home Darul Insyirah Erti Khatam Al-Quran Bagi Warga Emas

Erti Khatam Al-Quran Bagi Warga Emas

by adminpacu

Darul Insyirah – Bagi seorang yang berusia warga emas menyifatkan kejayaan khatam al-Quran pada bulan Ramadhan dalam hidupnya umpama telah memenuhi segenap ruang sisa-sisa hidupnya.

Kedengaran sayup-sayup suara wanita mengalunkan bacaan ayat suci al-Quran. Merdu sekali alunannya sambil diikuti suara beberapa warga emas yang lain dengan dipimpin seorang ustazah.

Hampir setiap pagi sepanjang Ramadhan inilah aktiviti di Pusat Jagaan & Pendidikan Warga Emas Darul Insyirah, Bandar Baru Bangi. Jadual penghuni rumah Darul Insyirah yang mesra disapa bonda ini penuh terisi dengan majlis ilmu. Terpancar riak ketenangan pada wajah semua bonda ini sebaik selesai khatam al-Quran setelah sepanjang bulan di bulan Ramadhan ini, mereka bertadarus setiap hari.

“Ia bukan satu tugas mudah, ditambah pula dengan usia sudah lanjut amat sukar untuk membaca al-Quran ini. Namun itu bukan penghalang buat bonda-bonda di Pusat Jagaan Darul Insyirah untuk khatam,” demikian kata Pengurus Darul Insyirah, Cik Aishyah Sulaiman.

Dalam menuju hari-hari tua di penghujung usia, inilah yang mereka mahukan. Bukan sekadar duduk sambil mengenang kisah lalu atau terpaksa menjaga cucu di rumah. Menariknya Pusat Jagaan & Pendidikan Warga Emas Darul Insyirah berbeza dengan rumah orang tua sedia ada di Malaysia.

Menurut pengasasnya, Asral Widad Ahmad Asnawi, “Darul Insyirah ditubuhkan untuk memberi peluang kepada warga emas menjalani kehidupan pada penghujung usia dalam persekitaran selesa dan dapat mendalami ilmu agama dengan lebih mendalam. Dengan program pendidikan yang dirangka ia dapat meningkatkan maruah, harga diri dan kualiti hidup warga emas.”

Jika sebelum ini rumah orang tua sering dibayangi warga emas yang dihantar oleh anak sendiri atau tidak mempunyai waris, tetapi kesemua bonda yang berada di sini datang secara sukarela. Kriteria pengambilan penghuni rumah ini juga berbeza dengan rumah penjagaan warga emas sedia ada kerana di sini bukan tempat untuk meletak atau ‘membuang’ warga emas.

Sebaliknya, ia berfungsi sebagai tempat jagaan dan ruang untuk warga emas menuntut ilmu. Anak-anak perlu bertanggungjawab untuk mengambil ibu mereka semula sebagaimana dijadualkan. Bagi bonda yang berkemampuan akan dikenakan sedikit sumbangan bulanan, manakala yang sebatang kara atau kurang mampu akan dicarikan dana atau anak angkat untuk menampung kos hidup mereka di sini.

Sementara itu, Asral Widad turut memohon sumbangan orang ramai bagi projek pembinaan kompleks warga emas Darul Insyirah bagi menempatkan warga emas yang bernilai RM1.5 juta.

Bagi mereka yang ingin menyokong perjuangan serta aktiviti Darul Insyirah untuk memartabatkan warga Muslim boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Maybank Islamik Darul Insyirah 5628 3463 1731.

You may also like

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

X