Home i-Backyard Science Bumi bagaimana hendak kita wariskan kepada generasi akan datang?

Bumi bagaimana hendak kita wariskan kepada generasi akan datang?

by adminpacu

Pembuangan sisa bahan kimia toksik yang mencemari Sungai Kim Kim telah mengakibatkan pencemaran alam sekitar berskala besar, di mana semua 111 sekolah di kawasan Pasir Gudang diarah tutup oleh Kementerian Pendidikan. Ini adalah tindakan yang amat wajar kerana magnitud pencemaran yang berlaku adalah besar dan melibatkan risiko pendedahan kepada golongan rentan iaitu anak-anak dan penduduk sekitar.

Antara bahan buangan kimia toksik yang dikenalpasti dan dilupuskan secara haram itu adalah metana (CH4), Hidrogen Klorida (HCl), Acrylonitrile (CH₂CHCN), Acrolein (C3H4O), benzene (C6H6), Toluene (C7H8), Xylene (C8H10) dan Limonene (C10H16), menurut sumber dari Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim.

Kesemua bahan kimia ini dikategorikan sebagai berbahaya kerana sifat fizikal dan kimia yang amat mudah meruwap (extremely volatile), tidak berwarna (colorless), mudah terbakar (highly flamable), dan karsinogenik. Simptom yang ditunjukkan oleh pelajar-pelajar sekolah adalah selari dengan simptom terhidu wap beracun yang dihasilkan dari bahan-bahan tersebut. Namun yang lebih dikhuatiri adalah kesan jangka masa panjang terhadap seluruh ekosistem di kawasan tercemar.

i-Backyard Science selaku NGO yang mengadvokasi program kelestarian alam melalui pendekatan sains tauhidik menekankan elemen Akulah Khalifah, di mana tanggungjawab memelihara alam sekitar terpikul atas bahu-bahu manusia sebagai khalifah di muka bumi. Kami merasa amat kesal dengan insiden ini kerana ramai anak-anak yang tidak bersalah menanggung akibat perbuatan pihak yang tidak bertanggungjawab.

Firman Allah dalam Surah Ar-Rum ayat 41 yang bermaksud:

“Telah nampak kerosakan di darat dan di laut akibat perbuatan tangan manusia; Allah mengkehendaki agar mereka merasakan sebahagian dari (akibat) perbuatan mereka, agar mereka kembali) ke jalan yang benar)”

Program i-Backyard Science menerapkan sikap memelihara alam sekitar dan amalan lestari dalam modul kami melalui pelbagai aktiviti seperti Kebun Bandar dan Kempen Kitar Semula. Kami juga akan mengadakan Program Nature Sustain Challenge pada 24 Mac di Taman Tasik Cempaka Bandar Baru Bangi yang bertujuan memupuk sikap tanggungjawab seluruh anggota masyarakat dalam usaha memelihara alam sekitar.

Sebagai khalifah di bumi ini, memelihara alam sekitar yang telah diciptakan Allah sebaiknya adalah tanda syukur dan taat kepada Allah, seperti yang sebut dalam surah al-A’raf ayat 56:

“Dan janganlah kamu berbuat kerosakan di bumi setelah ia diciptakan dengan baik. Berdoalah kepadaNya dengan rasa takut dan penuh harap. Sesungguhnya rahmat Allah sangat dekat kepada orang yang berbuat kebaikan.”

Sebanyak 2.43 tan sisa bahan kimia dikumpulkan sejak operasi pembersihan 7 Mac lalu. Butiran mengenai jumlah sebenar bahan tercemar dalam atmosfera, tanah dan akuatik masih belum diperolehi namun maklumat ini bakal memberi keresahan kepada seluruh penduduk Pasir Gudang dan tidak mustahil merebak ke daerah yang bersempadan. Sekiranya bersalah, tindakan penjara lima tahun dan denda RM 500,000 boleh dikenakan di bawah akta Environmental Quality 1974. Namun yang demikian, ramai yang mengharapkan tindakan yang lebih serius dikenakan terhadap pesalah akibat kecuaian yang disengajakan ini sebagai pengajaran kepada golongan ini dan supaya kejadian seperti ini tidak berulang lagi. Bumi kita cuma satu, lantas, bumi yang bagaimana hendak kita wariskan kepada generasi akan datang?

Dr. Nazatul Shima Naharudin

Perunding Penyelidikan

Pusat Kecemerlangan Pendidikan Ummah (PACU)

You may also like

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

X